HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Oktober 2019

Lelaki sekali ganda lebih ramai bankrap berbanding wanita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.
 
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, seramai 56,173 lelaki diisytiharkan muflis, iaitu lebih sekali ganda daripada 24,452 wanita yang bankrap sejak 2015 hingga Ogos lalu.

Katanya, dalam tempoh itu juga, individu berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai diisytiharkan bankrap, iaitu 28,296 kes.

“Bagi umur di bawah 25 tahun, jumlahnya sebanyak 476 kes, 25-34 tahun sebanyak 20,461 kes, 45-54 tahun berjumlah 20,353 kes, sementara mereka yang berumur 55 tahun ke atas berjumlah 10,415 kes bermula 2015 sehingga Ogos 2019,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dari segi pecahan kaum sejak 2015 hingga Ogos lalu, Liew berkata, orang Melayu paling ramai diisytiharkan muflis, iaitu 45,147 kes, diikuti Cina sebanyak 20,914 kes.

“Bagi kaum India pula jumlahnya 9,127 kes, sementara bangsa lain berjumlah 5,437 kes.”

Beliau menjawab pertanyaan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu jumlah rakyat diisytiharkan muflis dari 2015 hingga Ogos 2019 dari segi pecahan umur, kelas dan kaum serta strategi kerajaan untuk membantu mereka.

“Tidak dinafikan golongan belia pada masa kini dipengaruhi trend terkini yang menyebabkan mereka berbelanja di luar kemampuan pendapatan.

“Antara langkah dan strategi kerajaan bagi membantu golongan ini ialah memberi kesedaran serta kefahaman kepada individu itu dan masyarakat tentang risiko atau kesan perintah kebankrapan.

“Kesedaran ini dapat diterapkan melalui pendidikan dan pendekatan perbelanjaan berhemah,” kata Liew sambil menambah kerajaan melalui Jabatan Insolvensi turut melaksanakan program bagi mewujudkan kesedaran masyarakat.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan individu yang diisytiharkan muflis sejak dulu hingga Ogos tahun ini ialah 300,908 orang.

“Pihak insolvensi berjaya membebaskan lebih 30,000 kes daripada jangkaan masa yang saya sebutkan tadi daripada keseluruhan 300,908 kes.

“Jabatan Insolvensi juga aktif mengemas kini rekod muflis sebelum merdeka dan zaman 60-an. Saya juga ambil maklum ada yang muflis lebih 15 tahun.

“Kita mencadangkan mereka yang terlibat datang ke Jabatan Insolvensi membuat permohoan melalui peguam mereka untuk mendapatkan kebebasan.”

Tiada ulasan: