HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Oktober 2019

'Ganja perubatan' belum diputuskan

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
 
 

KERAJAAN masih belum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan ganja digunakan sebagai perubatan di negara ini, seperti yang dilakukan di negara lain.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK), Komisioner Polis Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ketika ini juga kerajaan masih mengikut undang-undang sedia ada iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Setakat ini, tidak ada lagi kajian yang diterima Kementerian Kesihatan yang menunjukkan ganja itu boleh dijadikan kajian perubatan.

“Oleh itu, setakat ini undang-undang sedia ada masih terpakai kerana apa sahaja jenis dadah hanya untuk perubatan dan kajian saintifik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Turut hadir, Pengarah AADK negeri, Dr Nazira Sadiron.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, jika ada pihak yang mempunyai kaedah perubatan berkenaan dadah, mereka perlu membawa perkara itu kepada Kementerian Kesihatan.

Katanya, kementerian kemudiannya akan menentukan jenis kajian yang perlu dilakukan sebelum menerima produk berkenaan sebagai bahan perubatan.

Apabila ditanya sama ada sudah ada mana-mana pihak yang tampil dengan sebarang kaedah perubatan berkaitan ganja, beliau berkata ia di bawah kuasa Kementerian Kesihatan.

“Seperti kita tahu morfin walaupun sejenis dadah, tetapi digunakan sebagai perubatan selepas mendapat kelulusan.

“Tetapi setakat ini di Malaysia, belum ada keputusan daripada kerajaan yang membenarkan ganja sebagai bahan dalam perubatan,” katanya.

Tiada ulasan: