HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Oktober 2019

GPS cabar Nicole Wong kemuka bukti dakwa VMF pemecah belah

siti hafidah 

 

Jika Ketua Pemuda MCA negarawan sejati, tolong hormat agama Islam

BANGI– Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menyelar tindakan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong apabila mengkritik kempen ‘Vote Muslim First (VMF)’ yang dilancarkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pemuda parti perkauman itu dilaporkan menuduh kempen berkenaan sebagai pemecah belah rakyat Malaysia. Dakwanya, BN tidak melihat kaum, tetapi ideologi sebagai syarat menjadi calon.

Menyifatkan Nicole Wong sebagai tidak matang, Ketua Operasi GPS, Assiddiq Fauzan berkata, kempen VMF bukan bersifat memecah-belah, sebaliknya menyatukan semua kaum di bawah ideologi yang dibawa oleh Perlembagaan Persekutuan, di mana agama Islam menjadi Agama Persekutuan.

Beliau berkata, sekiranya Ketua Pemuda MCA negarawan sejati, Nicole seharusnya memperjuangkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Jika Nicole menjunjung keharmonian antara kaum dan agama, beliau tidak patut menyelar kempen ini sebagai pemecah belah kerana itu adalah hak muslim untuk menuntut kerusi yang majoriti penduduknya Islam. Sepatutnya anda hormat bukan kritik. Sila kemuka bukti kata VFM pemecah belah,” kata Assiddiq.

Pada masa sama, Assiddiq turut mengesyorkan Nicole untuk keluar daripada parti yang berasaskan kaumnya sendiri, iaitu MCA.

“Kami ingin mengingatkan Nicole bahawa nama MCA adalah ‘Malaysian Chinese Association’. MCA itu sendiri ditubuhkan atas perbezaan kaum. Janganlah mudah lupa dengan asal usul parti sendiri.

“Nicole sepatutnya sertai parti lain yang berbilang kaum kerana MCA tidak sesuai dengan diri beliau, berdasarkan kenyataannya itu,” kata Assiddiq.

PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diadakan pada 16 November depan. Setakat ini, BN dan PAS belum membuat keputusan berhubung calon di Tanjung Piai. Namun, sudah kecoh mengatakan MCA mahu mempertahankan kerusi itu yang dianggap sebagai ‘tradisi’.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat sakit jantung pada 21 September lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 adalah kawasan majoriti Melayu, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.


Tiada ulasan: