Oleh: Nor Hasliza Abdullah
Bahasa Melayu diharap dapat menjadi satu daripada bahasa rasmi di PBB

KUALA LUMPUR – Dunia, terutamanya golongan penterjemah dan jurubahasa,
menyambut Hari Penterjemahan Antarabangsa pada 30 September setiap tahun.
Di
mana kedudukan Malaysia dalam industri ini? Persoalan inilah yang bermain
dalam fikiran kalangan pemain industri.
Pengerusi
Program Pengajian Terjemahan dan Interpretasi Universiti Sains Malaysia (USM),
Dr Leelany Ayob berkata, Malaysia adalah sebuah negara dwibahasa kerana
komposisi rakyatnya yang berbilang kaum, bahasa dan budaya.
“Suka
atau tidak, tidak ramai rakyat Malaysia yang benar-benar berdwibahasa.
Dengan latar belakang yang berwarna-warni menjadikan kebanyakan mereka mencampur
aduk pelbagai bahasa. Kita sangat pandai mencampur perkataan daripada bahasa
pelbagai kumpulan etnik dan itulah yang menjadikan kita rakyat Malaysia.
“Kita
juga keliru kerana kita memperjuangkan bahasa kebangsaan, (tetapi), kita juga
merasakan dengan menggunakan bahasa Inggeris dapat menunjukkan martabat
seseorang,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Hari Penterjemahan
Antarabangsa yang disambut Isnin lepas.
Menteri
Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam ucapannya pada Pertandingan Pidato Antarabangsa
Bahasa Melayu 2018 berkata, bahasa Melayu diharap dapat menjadi satu daripada
bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia
sememangnya satu harapan yang besar dan tugas berat buat Malaysia, tetapi
Leelany berkata, ia perkara yang tidak mustahil.
“Setiap
rakyat Malaysia harus mendukung dan menghormati bahasa kebangsaan. Pemimpin
kita sendiri tidak boleh malu menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan mereka,
terutama jika mereka lebih fasih dalam bahasa kebangsaan. Mereka harus
membenarkan penterjemah profesional menyampaikan mesej mereka dalam bahasa
lain.
“Kita
melihat ramai pemimpin dunia berbuat demikian, kenapa tidak kita? Semakin kerap
kita bertegas menggunakan bahasa kita sendiri di platform antarabangsa, semakin
banyak bahasa Melayu diiktiraf,” katanya.
Leelany
berkata, terdapat banyak senario memerlukan khidmat penterjemah dan
jurubahasa yang tidak diketahui umum selain terdapat juga institusi yang
menyediakan program untuk melatih penterjemah dan jurubahasa, termasuk USM dan
Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM), menariknya, bakat-bakat ini mampu
dipasarkan di arena antarabangsa.
“Banyak
kali orang mengkritik hasil ucapan yang terpaksa dibaca dalam bahasa Inggeris
oleh rakyat Malaysia di acara antarabangsa. Kenapa perlu berbahasa Inggeris?
Sekiranya untuk menunjukkan prestij, hanya mereka yang fasih dapat
melakukannya.
“Jika
kita lebih selesa menggunakan bahasa Melayu, kenapa tidak kita berbangga
berbahasa Melayu supaya pemikiran kita dapat disampaikan dengan bebas dan lebih
meyakinkan?” katanya.
Leelany
berkata, jurucakap perlu membenarkan penterjemah profesional melakukan kerja
mereka, termasuk menjadikan jurucakap itu kelihatan baik berdasarkan kelancaran
mesej yang hendak disampaikan.
“Sekiranya
Malaysia benar-benar mahu bahasa Melayu menjadi sebahagian daripada bahasa
rasmi di PBB, satu perkara yang perlu dilakukan ialah mendukung dan mencintai
bahasa kebangsaan kita terlebih dahulu. Biarkan pakar penterjemah melakukan
kerja mereka untuk anda,” katanya.
Sementara
itu, Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) Dr Hasuria Che Omar
berkata satu persoalan yang tidak kurang pentingnya adalah untuk
mengadakan satu badan induk dalam menjaga hal ehwal penterjemah dan juga
bertanggungajwab terhadap pensijilan/akreditasi penterjemah di Malaysia.
“Diharapkan,
PPM dan ITBM akan terus diberi kepercayaan dan mandat untuk sama-sama memainkan
peranan penting dalam memastikan hasil kerja penterjemah profesional dan
terlatih disahkan dan diiktiraf, sama ada dalam konteks lokal ataupun
antarabangsa.
“Industri
yang belum dikawal selia ini memerlukan kerjasama rapat antara kedua-dua badan
berkenaan, serta dukungan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memastikan
industri terjemahan kekal dilestarikan,” katanya.
Menurut
Hasuria, pengiktirafan yang sangat dinanti-nantikan dalam industri
penterjemahan di Malaysia masih belum lagi dapat disempurnakan berikutan
pelbagai mekanisme yang perlu dipertimbang.
“Pelbagai
model yang sedang dipraktikkan oleh persatuan-persatuan penterjemahan di
seluruh dunia sedang dikaji dan satu model yang benar-benar sesuai dalam
konteks Malaysia akan cuba dibangunkan.
“Kita
bernasib baik kerana PPM sebagai ahli Persekutuan Penterjemah Antarabangsa
mempunyai ramai rakan persatuan yang bersedia untuk berkongsi maklumat mengenai
program akreditasi yang mereka jalankan agar kita dapat membina model
berdasarkan acuan sendiri tanpa mengetepikan piawaian yang biasa digunakan
secara global,” katanya.
Hasuria
berkata, mekanisme untuk pensijilan/pengiktirafan/akreditasi ini sangat perlu
diadakan, khususnya isu hak penterjemah, hak cipta, gaji dan pendapatan,
terutamanya dalam ruang digital yang mana kerja-kerja penterjemahan berlaku
dengan pantas serta merentasi sempadan dan bidang.
“Justeru,
sekurang-kurangnya satu standard boleh diwujudkan dalam hal penentuan
pembayaran kepada penterjemah/jurubahasa,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan