HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Oktober 2019

Isu royalti: Guan Eng enggan berbalah dengan MB Kelantan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau tidak mahu berbalah dengan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berhubung istilah sebenar royalti minyak yang harus dibayar kerajaan persekutuan.

Lim berkata walaupun belum membaca kenyataan Ahmad mengenai isu pemberian wang royalti, beliau meminta pembangkang tidak beremosi.

“Saya tak mahu berbalah tentang istilah yang digunakan.

“Apa yang dibayar sebelum ini dan telahpun dibayar dengan lebih cepat dan awal oleh kerajaan persekutuan. Apa yang saya nyatakan di Dewan Rakyat memang benar dan diakui oleh menteri besar elantan,” katanya di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Ahmad menafikan kerajaan Kelantan menerima bayaran royalti petroleum daripada kerajaan pusat.

Ahmad menegaskan wang sebanyak RM15.7 juta yang diterima pada 17 Sept lalu adalah wang ehsan dan berkata pembayaran royalti adalah dua perkara berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Lim berkata adalah lebih baik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mengadakan satu perbincangan mengenai itu tersebut.

“Saya harap perkara ini, marilah kita bincang secara waras, kalau nak berpolemik pun janganlah tanpa asas dan bukti yang kukuh,” katanya.

Semalam, Lim memaklumkan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan sudah dibuat bulan lalu.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata dakwaan Ahmad bahawa bayaran royalti kepada kerajaan negeri itu adalah wang ehsan adalah tidak benar.

Azmin berkata pembayaran royalti minyak itu masih menggunakan kaedah pembayaran lama untuk membayar royalti minyak kepada kepada kerajaan negeri yang menjadi negeri pengeluar minyak.

“Kaedah pembayaran royalti minyak terbaru membabitkan pemulangan nilai 20% daripada keseluruhan hasil minyak negeri masih dalam perbincangan.

“Itu saya tidak pasti dan kena semak balik. Sebab pembayaran 20% masih dalam perbincangan,” katanya.

Tiada ulasan: