HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Oktober 2019

Mencurigakan kerajaan turun harga rumah untuk warga asing

fazleen safina 

 

Alasan nak bantu pemaju jual stok rumah tidak terjual tak munasabah

BANGI – Tindakan kerajan rasis Pakatan Harapan (PH) membenarkan warga asing membeli hartanah bermula harga RM600,000 berbanding RM1 juta sebelum ini adalah silap dan mencurigakan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Muhammad Thalhah Kamarol Zaman berkata, sepatutnya kerajaan tidak boleh menggalakkan permintaan membeli hartanah daripada warga asing kerana ia menyebabkan harga rumah di negara ini semakin meningkat.

“Perkara berkenaan juga akan mengakibatkan golongan kelas tempatan warganegara Malaysia tidak mampu membeli rumah, berikutan kenaikan harga,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.

Terdahulu, kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual.

“Lambakan itu dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Pada masa sama, Thalhah menyifatkan bahawa tindakan kerajaan seperti ‘bodoh’ dan mencurigakan kerana tiada sebab untuk membantu pemaju perumahan menyelesaikan stok yang tidak terjual.

Katanya, hal ini kerana stok rumah yang tidak terjual akan melalui fasa ‘price adjustment’, iaitu harga yang masih boleh dibincang, yang akhirnya akan dapat memenuhi permintaan rakyat tempatan.

“Kerajaan sepatutnya membantu rakyat tempatan yang masih mencari rumah pertama dengan tawaran insentif dan menggalakkan lebih banyak pelaburan perumahan untuk disewa,” katanya.
 



Tiada ulasan: