HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Oktober 2019

'Timbang ambil semua kakitangan Utusan'

Faliq Lajim
 
 

KELAB Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) meminta pengurusan baru mempertimbangkan untuk mengambil semua kira-kira 800 kakitangan yang terjejas selepas pemberhentian operasi perniagaan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, 9 Oktober lalu.

Presiden KVUM, Tan Sri Khalid Yunus berkata, apa yang berlaku pada Utusan Melayu memeranjatkan dan tidak pernah menjangka bahawa syarikat berusia 80 tahun ini akan berakhir dengan cara begini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan bahawa syarikat tidak mempunyai pilihan lain melainkan tindakan drastik ini dan percaya lembaga pengarah sudah memikirkan pelbagai pilihan lain bagi menyelamatkan syarikat.

“Bagaimanapun, apa yang kami kesalkan ialah tindakan ini sama sekali tidak mengambil kira kepentingan petugas yang sudah memberikan dedikasi dan khidmat cemerlang pada syarikat selama ini.

“Ini adalah soal kemanusiaan. Fikirkan tentang ahli keluarga mereka (kakitangan utusan) terutamanya anak-anak yang masih bersekolah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media berhubung isu pemberhentian perniagaan syarikat Utusan Melayu, di Ampang, hari ini.

Turut hadir, Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar dan Bekas Timbalan Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Suleiman Mohamed serta puluhan ahli KVUM.


BEKAS petugas Utusan Melayu, Tan Sri Khalid Yunus (duduk dua dari kanan) bersama Tan Sri Suleiman Mohamed (duduk tiga dari kanan), Tan Sri Johan Jaaffar (duduk kiri) bersama ahli ahli kelab veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) pada sidang media berhubung pemberhentian perniagaan Syarikat Utusan Melayu, di Ampang. FOTO Owee Ah Chun
 
 
Dalam pada itu, Khalid meminta agar Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang memilih penggulungan sukarela pemiutang dibuat mengikut lunas peruntukan Akta Pekerjaan (Employment Act) atau sebarang akta berkaitan yang ada.

Katanya, pihaknya khuatir ia akan menjadi ‘precedent’ (contoh) bagi syarikat lain yang mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah mereka tanpa melalui proses skim pemisahan sukarela (VSS) atau skim pemisahan bersama (MSS).

“Kami turut meminta agar pihak terbabit mengambil kira kebajikan petugas yang diberhentikan.
“Mereka tidak hanya perlu dibayar gaji tertunggak selama ini, serta gaji sehingga tarikh akhir bekerja pada 31 Oktober ini, tetapi menimbangkan pampasan lain yang difikirkan perlu.

“Kita mahukan pihak terbabit melunaskan semua bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil VSS sebelum ini serta meminta agar dipertimbangkan sebarang faedah perkhidmatan yang munasabah seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran graduiti yang tidak dibayar sejak setahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata, pihak pengurusan baharu perlu mengangkat kembali martabat akhbar berkenaan sebagai institusi perjuangan anak Melayu.

“Jangan hanya selamatkan jenama dan lesen perniagaan. Mereka yang ambil alih pengurusan Utusan perlu teruskan legasi ditinggalkan kakitangan sebelum ini yang meletakkan akhbar ini sebagai platform suara anak Melayu,” katanya

Tiada ulasan: