HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2021

Dewan Rakyat perlu kembali bersidang selepas ahli Parlimen terima vaksin - MP Kota Kinabalu

 Astro Awani

Dewan Rakyat perlu kembali bersidang selepas ahli Parlimen terima vaksin - MP Kota Kinabalu
Foong Hin berkata parlimen sepatutnya bersidang semula pada Mei, 
sejurus tamatnya fasa 1 pemberian vaksin. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR:Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk dalam kumpulan penerima fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang akan bermula 26 Feb ini membolehkan Dewan Rakyat kembali bersidang, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.
 
Dalam satu kenyataan Foong Hin berkata, tiada lagi alasan untuk Dewan Rakyat tidak bersidang sebaik sahaja semua ahli Parlimen menerima vaksin.
 
“Saya dengan berhati-hati menyambut baik pengumuman perdana menteri pada 16 Februari bahawa wakil rakyat daripada semua parti politik layak menerima vaksin COVID-19 di bawah fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
 
“Apabila tamatnya fasa pertama program imunisasi berkenaan, tiada lagi sebab untuk menyekat atau menggantung sidang Parlimen. Fasa pertama akan berjalan dari 26 Februari hingga April.
 
“Dengan itu, Parlimen sepatutnya bersidang semula pada Mei, sejurus tamatnya fasa 1 (pemberian vaksin fasa pertama).
 
“Memandangkan sekarang semua ahli Parlimen akan menerima vaksin dan menjadi imun terhadap COVID-19, jadi sudah tidak ada lagi sebab untuk menutup Parlimen," katanya.
 
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19 . Klik di sini!
BACA: COVID-19: Semua wakil rakyat akan terima suntikan vaksin - PM
 
Foong Hin menjelaskan, keputusan memberikan vaksin kepada ahli Parlimen dan Adun menandakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 mengiktiraf kerja wakil rakyat yang kerap berjumpa orang ramai dan bergerak di lapangan dan pemberian vaksin akan menyebabkan mereka berasa lebih selamat ketika menjalankan tugas.
 
Selain Ahli Parlimen, Foong Hin turut mencadangkan agar pegawai Parlimen dan pembantu wakil rakyat turut diberi vaksin di peringkat awal, bagi membolehkan Parlimen bersidang tanpa kebimbangan.
 
Katanya lagi, banyak agenda yang tertangguh seperti pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) serta pembentangan belanjawan tambahan 2021 bagi menangani peningkatan kes COVID-19.
 
Beliau berkata, ahli Parlimen dan Adun membawa suara rakyat kepada kerajaan berhubung perkara yang memberi kesan kepada mereka, dan inilah yang memastikan demokrasi terus hidup.
 
“Darurat tidak harus meletakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang dalam bahaya. Perkara penting terhadap asas negara mesti diteruskan, pemeriksaaan terhadap eksekutif oleh badan perundangan mesti diteruskan.
 
“Rakyat marah bila ahli Parlimen masih menerima gaji bulanan meskipun tidak menghadiri sebarang sidang Parlimen.
 
“Menggantung sidang Parlimen tidak akan memberikan kebaikan kepada negara,” katanya lagi.
Pada Selasa, Muhyiddin membuat pengumuman itu dalam satu sidang media selepas pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Putrajaya.
 
Muhyiddin berkata, ahli Parlimen dan Adun dimasukkan dalam senarai penerima awal selepas mengambil kira keperluan mereka untuk berjumpa masyarakat dan ia akan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan selamat.

Tiada ulasan: