Faris Danial Razi
Profesor
Dr. Mohd Roslan Mohd Nor mendapati situasi parlimen tergantung
bakal
berlaku jika parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan
Pakatan Harapan (PH) akan berentap sesama mereka. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR:Pertandingan
melibatkan tiga penjuru sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti
hanya akan merugikan sentimen politik Melayu-Islam, termasuk kestabilan
negara.
Itu pandangan Presiden Pertubuhan
Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor yang
turut berpandangan situasi parlimen tergantung bakal berlaku sekiranya
Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)
berentap sesama mereka.
“Jika pertandingan tiga penjuru, hasil analisa mendapati situasi Parlimen tergantung bakal berlaku.
“PN
yang telah didaftarkan oleh dua parti teras Melayu Islam (Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) + Parti Islam Se-Malaysia atau Pas) dijangka
memperolehi 72 kerusi, BN 51 kerusi dan PH 99 kerusi.
“Pertembungan
tiga penjuru ini menatijahkan tiada mana-mana gabungan yang akan
membentuk majoriti mudah 112 kerusi,” jelasnya menerusi satu kenyataan
pada Rabu.
Meskipun ada kemungkinan PN
dan BN bersetuju untuk bergabung selepas PRU, namun beliau menambah
bahawa jumlah kerusi akan turut berkurang dengan drastik berbanding dua
penjuru.
“Kedudukan kerusi yang sama
dengan situasi sekarang bakal terbentuk. Malah analisa di atas berisiko
berkeputusan lebih rendah untuk PN dan BN.
“Ini
kerana ia bertentangan dengan kehendak rakyat di dalam kajian lapangan
yang lebih meyakini satu gabungan yang stabil dan kukuh sebelum membuat
pengundian dan bukannya selepas PRU15.
“Di
samping itu juga, kerusi Islam-Melayu juga tidak akan mencapai
majoriti. Paling tinggi mungkin sekitar 104 kerusi sahaja,” tambah
beliau lagi.
Bukan sekadar itu, Mohd
Roslan turut memperincikan bahawa situasi itu turut mengembalikan
keputusan mirip PRU14 di mana PH menjadi gabungan terbesar bertunjangkan
DAP yang akan memiliki sekurang-kurangnya 41 kerusi.
“Tarik-menarik
ahli Parlimen akan berlaku dan akan merosakkan keyakinan rakyat serta
pelabur dalam waktu kritikal untuk bersatu hati memulihkan ekonomi dan
kemakmuran negara pasca wabak COVID-19,” ujarnya.
Apa pula senario jika Barisan Nasional masih kekal dengan Perikatan Nasional dan menentang Pakatan Harapan pada PRU-15?
PN+BN berpotensi untuk memperolehi dua pertiga majoriti di parlimen. Senario situasi terbaik (best case scenario)
menunjukkan PN+BN akan berjaya memenangi sehingga 162 kerusi parlimen
berbanding PH yang hanya mampu bertahan di 60 kerusi, jelas Dr Mohd
Roslan.
“Dalam masa yang sama, PN+BN akan berjaya mengembalikan majoriti Islam dan Melayu di Parlimen yang hilang pasca PRU14.
“Sekitar
130 kerusi akan diwakili oleh wakil rakyat Islam-Melayu. Gabungan PN+BN
juga akan berjaya menambah kawasan Parlimen bandar sehingga 20 kerusi.
“60 kerusi PH pula didominasi 39 kerusi DAP, 13 PKR dan selebihnya parti-parti gabungan PH yang lebih kecil,” jelas beliau.
Tambahnya, analisa ini bertepatan dengan majoriti maklum balas rakyat yang dikumpul di dalam kajian lapangan.
“Mereka
bersedia memilih sebuah gabungan politik yang kuat, stabil dan inklusif
(PN+BN) berbanding satu gabungan yang dilihat eksklusif (UMNO+Pas)
ataupun yang didominasi oleh kaum bukan majoriti (PH).
“Populariti
PN+BN sebagai gabungan yang berteraskan kaum majoriti iaitu Melayu dan
disertai oleh Bumiputera Sarawak, Sabah dan parti-parti kaum Cina dan
India dilihat oleh rakyat mampu mengekalkan keharmonian dan lebih stabil
serta baik untuk pertumbuhan ekonomi.
“Faktor
penarik kepada PN+BN ini juga berkait dengan persepsi rakyat kepada
keunikan parti teras gabungan tersebut iaitu mengutamakan kebajikan
rakyat (Bersatu), berintegriti tinggi (Pas) dan berpengalaman dalam
pentadbiran (UMNO).
“Walau bagaimanapun,
perkembangan politik mutakhir ini memperlihatkan timbul kemungkinan
untuk berlaku pertembungan lebih daripada dua penjuru.
“Pergeseran
antara UMNO dan Bersatu secara khususnya dibimbangi boleh membawa
kepada perkara tersebut,” jelasnya lagi berdasarkan kenyataan yang
dihantar kepada Astro AWANI.
Antara kesimpulan lain termasuk persepsi pengundi di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah mendapati:
-
Ciri-ciri berintegriti tinggi, tiada salahguna kuasa dan tidak rasuah
menjadi pilihan utama pengundi Melayu diikuti oleh inisiatif pemulihan
ekonomi.
- PN+BN dilihat lebih diyakini sebagai gabungan yang berintegriti kerana ia gabungan baru yang tiada bebanan imej lepas.
- Perkembangan pengundi atas pagar, condong non-partisan dan lebih terbuka semakin tinggi peratusnya.
Jelas,
Presiden PINTAR itu lagi, analisa senario pertembungan dua atau tiga
penjuru ini dibuat setelah mengambil kira situasi politik semasa apabila
berlaku pergeseran di antara parti teras Melayu-Islam di pihak kerajaan
iaitu UMNO dan Bersatu.
“Sebaliknya,
pertembungan tiga penjuru akan mengheret negara ke dalam kancah
ketidakstabilan yang memudaratkan segenap lapisan rakyat dan
membantutkan usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk.
“Bersatu dan Pas harus menghormati UMNO sebagai parti terbesar kaum majoriti Melayu di dalam pembahagian kerusi.
“Namun,
UMNO pula perlu berlapang dada dan berjiwa besar dengan tidak menekan
serta menuntut peruntukan kerusi yang tidak munasabah,” tambah beliau.
Untuk makluman, analisis ini selari dengan kenyataan penganalisis politik mendiang Dr Hoo Ke Ping, baru-baru ini.
Beliau
menjangkakan PRU15 ini menyaksikan jika UMNO, Pas dan Bersatu
bergabung, mereka akan kekal memerintah dan mendominasi menerusi
pentadbiran yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan dalam
kepelbagaian.
Kajian ini melibatkan tiga
badan bukan kerajaan (NGO) ahli akademik dan profesional iaitu
Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Ikatan Ilmuwan Nasional
(ILMUWAN) dan NGO.
Ia berteraskan
penyelidikan QGenAnalysts (QGA) yang telah berkerjasama menganalisa
senario pertembungan dua penjuru (PN+BN vs PH) dan tiga penjuru (PN vs
BN vs PH) berserta keputusan kajian lapangan yang dibuat sepanjang
Jun–Disember 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan