HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2021

Jangan jadi “ejen pemecah Melayu,” kata PPBM

FMT Reporters

Wan Saiful Wan Jan berkata, isu itu sepatutnya dibincangkan antara kepemimpinan tertinggi.

PETALING JAYA: Ketua penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan menggesa Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad tidak membuat kenyataan yang mampu menggugat kerjasama antara parti.

Wan Saiful menyifatkan tindakan Saarani memberi kata dua kepada PPBM supaya tidak bertanding kerusi dimenangi Umno sebagai perkara malang yang tidak membawa apa-apa manfaat atau kebaikan kepada perpaduan politik orang Melayu.

Susulan itu, beliau meminta semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan perpaduan kerjasama PPBM, Umno dan PAS.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadi ejen perpecahan Melayu.

“PPBM selama ini tidak membangkitkan isu berkaitan kerusi yang hendak dipertandingkan dalam pilihan raya umum. Kita sentiasa berpegang dengan pandangan bahawa biarlah perkara sebegini diselesaikan secara harmoni di meja rundingan.

“Jangan sesiapa pun menjadi ejen perpecahan. Soal kerusi biarlah kepemimpinan tertinggi pusat PPBM, Umno dan PAS, berbincang mengenainya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, gabungan tiga parti Melayu itu sepatutnya memperkukuhkan kerjasama di saat rakyat sedang susah.

“Mengapa perlu dibangkitkan soal kerusi ketika rakyat perlukan bantuan? Kita patut kuatkan kerjasama untuk menangani masalah rakyat. Bukannya sengaja mahu bawa pecah belah. Kalau kita berpecah, yang akan bergembira hanya musuh-musuh politik kita,’’ katanya.

Saarani baru-baru ini memberi kata dua kepada PPBM supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum (PRU) terdahulu jika mahukan penyatuan antara parti itu di Perak.

Pengerusi Umno Perak itu juga berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu kekal ditandingi Umno pada PRU ke-15 akan datang.

Tiada ulasan: