HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2021

Kerjasama dengan Pas, UMNO Terengganu perlu lebih rasional – Kamarul

MG140919_PENYATUAN-UMMAH19-1
Walaupun Muafakat Nasional telah dimeterai, namun kerjasama UMNO-Pas Terengganu belum muktamad sepenuhnya. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kononnya Pas Terengganu hanya bersetuju bekerjasama parti itu dalam PRU-15 jika diperuntukan empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana sekumpulan penyelidik bebas di Terengganu pada Jun 2019 mendapati hasilnya sangat membanggakan.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang turut terlibat dengan kumpulan penyelidik itu berkata, penerimaan pemimpin dan penyokong UMNO kepada kerajaan Pas di Terengganu berada pada tahap yang baik.

Begitu juga katanya, penerimaan mereka kepada Menteri Besar Pas Terengganu juga amat baik dengan 91.25 peratus responden yang ditemubual secara rawak dan tatap muka bersikap positif.

“Dalam konteks dapatan kaji selidik inilah saya terperanjat bila membaca kenyataan Tajuddin dalam sebuah portal berita hari ini mengenai status kerjasama UMNO dan Pas di Terengganu.

“Mengikut Ahli Parlimen Pasir Salak itu, UMNO Terengganu hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15 jika diperuntukan dengan empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN dan beliau difahamkan syarat ini mungkin tidak dilayan oleh Pas.

“Mengapa UMNO Terengganu meletakkan peruntukan empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan Pas, ketika 65.07 peratus daripada pemimpin dan penyokong UMNO Terengganu sebelum ini bersetuju ianya dibuat mengikut status quo?” soal beliau dalam kenyataanya hari ini.

Kata beliau, mungkinkah UMNO Terengganu kini sudah lebih yakin UMNO akan dapat merampas kembali negeri itu dari tangan Pas serta sudah tidak yakin kerjasama politik kedua parti di peringkat nasional adalah jalan untuk membolehkan UMNO berkuasa.

Tiada ulasan: