KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masih baharu dan belum faham dengan politik, lebih baik diam daripada menunjukkan sikap ghairah dengan soal dalaman UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan desakan dari pemimpin itu agar UMNO mendedahkan isi perbincangan dalam mesyuarat di Janda Baik, Pahang Jumaat lalu, sebagai tidak perlu.
“Ada pulak ahli MT PPBM meminta UMNO mengumumkan keputusan rasmi mesyuarat MKT UMNO di Janda Baik beberapa hari lalu.
“Saya merasakan tidak perlu bagi PPBM terlalu ghairah dengan soal dalaman UMNO. Apa lagi bagi mereka yang baru. Mereka belum faham cara politik UMNO. Elok mereka diam.
“MKT UMNO ada kebijaksanaan yang tersendiri. Ia mempunyai tradisi serta pengalaman melalui pelbagai situasi politik. Saya percaya itulah yang sedang berlaku,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Dr. Muhammad Faiz Na’aman dilaporkan berkata, UMNO perlu mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat MKT parti itu yang diadakan pada Jumaat.
Katanya, perkara itu penting untuk mereka merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut Annuar, mungkin sepinya mesyuarat di gunung (Janda Baik) tempoh hari meresahkan banyak pihak, termasuk dalam kalangan ahli parti itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan