UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menuntut bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadapnya berhubung pembunuhan seorang wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan baru-baru ini.
Firma guaman Tetuan Shafee & Co, yang mewakili Najib, dalam surat
tuntutan, berkata ia telah diarahkan untuk menuntut agar kenyataan itu
ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf
sepenuhnya bagi fitnah dalam bab 42 di bawah tajuk ‘Altantuya.’
“Anak guam kami juga telah mengarahkan kami agar menuntut ganti rugi
sebanyak RM10 juta daripada anda bagi kecederaan terhadap reputasinya
serta aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan dan komen terbabit,”
katanya.
Dokumen itu turut menyebut bahawa dengan inferens dan sindiran yang jelas, Thomas telah menghantar mesej bahawa beliau, sebagai AG dan Pendakwa Raya ketika itu, berpuas hati dengan kebenaran dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka membunuh Altantuya.
“Kenyataan anda yang dipertikaikan telah menyatakan bahawa anak guam kami amat cuai, bersikap melulu, tidak bertanggungjawab, sengaja, berniat jahat dan dibuat dengan tujuan merendahkan harga diri serta reputasi baik anak guam kami di mata orang awam selain mendedahkan anak guam kami kepada kebencian, cemuhan, penghinaan dan ejekan umum,” katanya.
Surat itu juga menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah jelas
bermotifkan niat jahat dan secara prinsipnya dilakukan demi kepentingan
diri Thomas dalam mencari publisiti murahan yang didorong oleh egonya,
sensationalisme dan keuntungan.
“Oleh itu, kami menuntut jawapan yang memuaskan daripada Thomas sebelum
12 tengah hari Jumaat ini; jika kami tidak menerimanya, arahan jelas
untuk kami ialah memulakan prosiding perundangan pada awal minggu
depan,” katanya.
Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu, dalam kenyataan berasingan hari ini, memaklumkan bahawa Thomas telah tersalah fakta dalam memoirnya, terutama dalam bab mengenai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang membabitkkan kes anak guamnya iaitu bekas Pengerusi AIAC Sundra Rajoo.
Beliau berkata fakta yang tepat ialah semakan kehakiman telah difailkan terlebih dahulu di mahkamah sebelum pertuduhan dikenakan ke atas anak guamnya, seperti yang dinyatakan dalam buku itu.
“Paling penting ialah semakan kehakiman itu masih tertangguh di peringkat Mahkamah Persekutuan, jadi untuk menyatakan perkara ini dalam buku tersebut adalah bersifat sub judice serta memfitnah dan sebagai bekas AG, beliau sepatutnya lebih mengetahui tentang perkara ini,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan