HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2021

Pas dah lama suara kebimbangan kewujudan ‘sugarbook’

tarmizi
Mohd Tarmizi Yahaya

KUALA LUMPUR – Ledakan panas dari isu Sugarbook bukan cerita baharu, malah Pas sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangannya sejak awal kemunculan platform tersebut.

Namun, kerana ia ‘dipayungi’ oleh kuasa ketika itu, tidak ada sebarang tindakan diambil, sehingga hari ini baharulah semua pihak nampak akibat buruk yang sedang berlaku akibat dari kemunculannya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya, belum terlambat untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelesaikan isu itu daripada menjadi barah.

Ujar beliau, kesilapan hingga menjadi kerosakan awam oleh sikap masa lalu mesti menjadi pengajaran dan pastikan tidak berulang lagi.

“Ketika ini, penyiasatan sudah menjadi langkah sekunder, sebaliknya tindakan utama dan segera tanpa ragu-ragu mesti diambil terutama oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM dengan menyekat terlebih dahulu akses ke platform tersebut.

“Semua pihak pula harus mengakui, kewujudan platform ini hanya kemudahan teknologi aplikasi, tetapi ianya berupa muslihat atau helah yang sebenarnya menjalankan kegiatan pelacuran elit.

“Pihak berkuasa tidak seharusnya rabun, apatah lagi bersikap lemah mendepani perkara licik dan curang seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jenayah yang dijana dari platform itu mesti mengarah untuk tindakan supaya ditamatkan segera.

Lebih buruk dan jahat, kata Mohd Tarmizi, apabila ia menyasarkan bijak pandai yang sedang diasuh di menara gading sebagai pewaris dan pemimpin masa depan.

Katanya, ini seolah menunjukkan negara sedang diruntuhkan secara halus, oleh itu, kerajaan PN wajar membuktikan sebagai penyelamat masa depan rakyat setelah menyelamatkan pemerintahan negara ini daripada Pakatan Harapan (PH).

“Menjamin isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan hingga ke akar umbinya, pihak berkuasa bukan sahaja mesti menyiasat semua pihak terbabit dengan kegiatan ini, tetapi wajib mencari dalang di belakang tabir platform ini.

“Kerana kegiatan mungkar kelas elit seperti ini seringkali memberi pulangan lumayan, di mana terdapat pihak berkepentingan meraih kemewahan.

“Perkara ini lebih utama dibongkar dan dibanteras yang menjadi paksi kejahatan aktiviti terkutuk itu berlaku,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan mesti melakukan penambahbaikan kepada segala kelompangan aspek undang-undang dan penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan songsang seperti itu tidak wujud lagi.

Beliau meminta kerajaan, NGO dan semua pihak bertanggungjawab mesti menggiatkan lagi usaha dakwah, pembinaan sahsiah dan program kerohanian yang dapat membina generasi anak Malaysia. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: