HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Februari 2021

Pilih pemimpin bukan soal umur sahaja, perlu lihat juga pengalaman, 'wisdom' - Najib

Firdaus Azil
Pilih pemimpin bukan soal umur sahaja, perlu lihat juga pengalaman, 'wisdom'  - Najib
Najib akui keengganan pemimpin UMNO terdahulu untuk lepaskan kepimpinan 
sehingga berpuluh tahun lamanya, telah menyukarkan generasi muda. - Foto 
Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Usia yang muda semata-mata, bukanlah kriteria yang mencukupi untuk membolehkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik, tegas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Beliau berkata, sememangnya peremajaan UMNO – iaitu menyediakan lebih banyak ruang untuk pemimpin lebih muda – perlu dilakukan, tetapi tegasnya lagi, ia perlu dilakukan secara terancang.
 
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, beliau percaya seseorang individu yang ingin menjadi pemimpin, perlu juga memenuhi kriteria seperti mempunyai pengalaman, dan juga mempunyai kebijaksanaan tersendiri.
 
“Saya percaya peremajaan UMNO ini mesti kita lakukan secara terancang. Cuma kita tak boleh terbawa-bawa sangat dengan kefahaman bahawa pemimpin muda semestinya terbaik.
 
“Saya tak boleh gunakan satu kriteria, (kerana ia) bukan soal umur sahaja. Umur mungkin membawa kepada yang muda, mungkin lebih dinamik, lebih bertenaga, tetapi ada satu atau dua lagi kriteria – pengalaman dan juga kebijaksanaan, wisdom,” katanya sewaktu ditemu bual dalam program Eksklusif Bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disiarkan Astro AWANI malam ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan rakyat terhadap kesemua parti politik agar mengetengahkan lebih ramai individu yang lebih muda dan segar, untuk menerajui kepimpinan.
 
Mengulas lanjut, Najib berkata, UMNO sebenarnya telah lama mendahului parti-parti lain dalam menyediakan ruang yang secukupnya untuk generasi pelapis.
 
“Saya menjadi Menteri Besar Pahang pada umur 23 tahun. Yang lain macam Datuk Rais (Tan Sri Rais Yatim) ketika itu, Arwah Datuk Mokhtar Hashim, (Tan Sri) Shahril Samad, (Tan Sri) Rahim Tamby Chik, dan ramai lagi pemimpin yang diketengahkan pada masa itu sebagai pemimpin pelapis, dan mereka diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan dan bakat mereka.
 
“Kalau ada pemimpin muda semata-mata kerana dia muda, yang gagal pun ada. Saya tak payah sebut nama… memang ada, dan kita boleh lihat. Kebelakangan ini, ada juga pemimpin muda diketengahkan, tiba-tiba gagal,” katanya lagi.
 
Dalam pada itu, Najib, yang merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional selama sembilan tahun (2009 – 2018) berkata, beliau mengakui wujud kesukaran untuk golongan pelapis naik, sekiranya pemimpin kanan mengekalkan kedudukan sebagai presiden berpuluh tahun lamanya.
 
Beliau berkata, keadaan itu akhirnya akan mengakibatkan perubahan generasi dalam parti yang sepatutnya berlaku lebih awal, gagal direalisasikan dengan sewajarnya.
 
“Jadi bila ada orang kata sekatan macam itu, jadi yang bawah tak boleh naik. Jadi ada kekangan yang menyebabkan proses itu agak lebih perlahan daripada apa yang patut kita lakukan.
 
“Jadi maknanya kita mesti ada satu perancangan yang secara terancang, dan mungkin kita mesti ada pemimpin yang berlapang dada dan berjiwa besar, bahawa antara tugas tanggungjawab seorang pemimpin ialah untuk melatih, beri peluang kepada pemimpin muda ambil tempat kita,” katanya lagi.

Tiada ulasan: