HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2021

PRU15: Sudah bersediakah UMNO?


Ketika desakan supaya disegerakan PRU15, apakah UMNO sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan gelembung politik pasca Covid-19 dengan sokongan rakyat kelihatan seperti tidak meyakinkan?

Jangan berhelah untuk lari daripada realiti apakah selepas PRU14, UMNO sudah gagah berdiri untuk mengumpul segala kekuatan dan keupayaan berdepan dengan pihak lawan.

Kejujuran untuk mengakui kelemahan UMNO amat diperlukan bagi mempersiap siagakan parti agar titik hitam PRU14 tidak berulang takkala masing- masing pemimpinnya dipelbagai peringkat terlalu ghairah melaungkan keyakinan untuk menang.

Apa persiapan di peringkat akar umbi (selalu dimomokkan) yang sudah dilakukan ? Kita nampak seperti kabur dan tidak ada halatuju yang konsisten menyatumi rakyat di bawah.

Dalam meraba-raba mencari halatuju tersebut, rakyat bertanya apa yang telah UMNO lakukan untuk ‘ mendampingi’ rakyat terutama dikawasan luar bandar setelah tersungkur rebah pada PRU14 ?

Saban hari rakyat dihidangkan cerita penglipur lara dengan watak pemimpin UMNO berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan politik yang tiada kesudahannya, yang hanya menampakkan antara mereka ada kalanya berlaku percanggahan.

Terlalu banyak ‘warlord’ dalam UMNO sepertimana kata mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memang ada benarnya. Pemimpin UMNO di peringkat tertinggi hanya petah bercakap dengan kepelbagaian versi tetapi tidak nampak jurusnya untuk membela nasib rakyat.

Kita perlu ikhlas dan jujur dalam perjuangan untuk membela nasib rakyat terutama bangsa Melayu, bukannya garang bercakap soal pembahagian kerusi dan merangka strategi untuk menjatuhkan kerajaan semasa. Untuk apa ?

Dalam kalutnya pemimpin UMNO memikirkan untuk kembali berkuasa, ada ketikanya institusi presiden parti itu seperti diperlecehkan dan ‘suara’ presiden ditenggelamkan. Kenapa jadi begitu ?

Amat tidak manis jika kedudukan Presiden UMNO sengaja diketepikan kerana orang akan bertanya, jika presiden pun tidak dihormati bagaimana UMNO mahu mendampingi rakyat akar umbi ?

Justeru, jangan mudah marah dan melenting apabila ada yang mendakwa sesetengah pemimpin UMNO hanya ligat memikirkan bagaimana untuk kekal meraih kuasa daripada menjenguk rintihan rakyat.

Janganlah untuk menutup kelemahan, maka, lagu retorik ‘akar umbi’ akan dinyanyikan walaupun iramanya semakin sumbang ! UtusanTV

  • Artikel ini dipetik dari Facebook Minda Syed Ali Alhabshee

Tiada ulasan: