HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2021

Tun Mahathir dan Rule of Law


Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan khas kelmarin menyatakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengamalkan rule of law dan dakwaan bahawa wabak Covid-19 perlu ditangani dengan Pengisytiharan Darurat adalah pembohongan.

Tuduhan ini nampak sangat berat tetapi apabila diteliti, hujah yang diberikan lopong dan kebanyakannya tidak berasas.

Pertama sekali, Dr. Mahathir berkali-kali mengingatkan tentang ‘kezaliman’ kerajaan PN yang mempunyai kuasa lebih besar ketika darurat. Contoh yang diberikan adalah ‘menghalang kebebasan rakyat berpolitik dan menegur kerajaan’ jelas satu pembohongan.

Ahli-ahli politik bebas berpolitik malah banyak aktiviti dan mesyuarat parti diadakan secara maya bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak ada sebarang aktiviti politik disekat baik PN, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang mahu pun Muda.

Malah selepas sebulan berlalu, tidak ada seorang pun pemimpin politik ditangkap sebagai tahanan politik sebagaimana yang berlaku dalam Ops Lalang ketika zaman Tun Dr Mahathir memerintah. Pemimpin politik bebas mengkritik kerajaan, malah mengata apa sahaja dengan sebebas-bebasnya.

Tidak ada sebarang akta digunakan sewenang-wenangnya seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu waktu dahulu bagi menakut-nakutkan musuh politik parti pemerintah. ‘Kezaliman’ seperti yang dilaung-laung dan diulang-ulang oleh Dr. Mahathir itu ternyata hanya sekadar imaginasi liar yang diapi-apikan untuk keuntungan politik sempit.

Kedua, tuduhan Perdana Menteri dan kerajaan membohongi Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan darurat diisytiharkan jelas menghina institusi sistem Raja Berperlembagaan sekali gus mempersoalkan kebijaksanaan Agong sebagai payung negara yang adil dan saksama.

Jika diimbas kembali, Agong sebelum ini pernah menolak nasihat kerajaan untuk mengisytiharkan darurat Oktober tahun lalu. Sudah pasti Agong membuat pertimbangan yang cukup teliti sebelum membuat keputusan tersebut dan menerima nasihat kerajaan kali ini untuk mengisytiharkan darurat.

Dengan purata kes COVID-19 yang tinggi melebihi 3,000 kes sehari sejak beberapa minggu kebelakangan ini, apa lagi justifikasi yang dimahukan oleh Tun Dr Mahathir?

Ketiga, berkenaan rule of law pula, walaupun dalam keadaan darurat berkuat kuasa, prinsip semak dan imbang terus berjalan seperti biasa. Sistem kehakiman terus berjalan dan kerajaan yang dipilih menerusi sistem demokrasi berpalimen masih menjalankan urusan pentadbiran negara.

Dr. Mahathir bukan main petah dan rancak bercakap soal rule of law tetapi selama pentadbiran beliau 22 tahun atau 22 bulan, rule of law sering kali diketepikan.

Apabila keputusan mahkamah tidak menyebelahi kerajaan , Ketua Hakim Negara dipecat, Peguam Negara pula di bawah telunjuk bagi menuruti kepentingan agenda politik peribadi. Pendakwaan berpilih musuh-musuh politik dijadikan senjata utama untuk menutup mulut dan melenyap musuh-musuh politik.

Keempat, soal ekonomi. Dr. Mahathir masih lagi sibuk mempersoalkan hutang negara melonjak kepada RM 1.3 trilion. Ketika ini Malaysia berada dalam ‘waktu krisis- hutang negara perlu diketepikan. Kerajaan perlu fokus membantu kebajikan rakyat pada waktu ini.

Pada masa yang sama beliau menutup mata jutaan rakyat Malaysia yang menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Program Subsidi Upah sepanjang tahun 2020 terbukti berjaya menyelamatkan lebih dua juta pekerjaan. Bercakap soal pengangguran, apa pendekatan dan penyelesaian bijak Dr. Mahathir?

Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir ini tidak langsung mencerminkan perwatakan negarawan yang dihormati. Kenyataan berbentuk umum dan tidak bersandarkan fakta, sememangnya bertujuan untuk menghidupkan naratif bahawa Kerajaan PN adalah kerajaan yang gagal dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang Perdana Menteri yang gagal.

Bayangkanlah jika Dr. Mahathir masih Perdana Menteri, beliau mungkin akan menyalahkan Najib dalam isu penularan wabak COVID-19. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan beliau akan turut menyalahkan kerajaan Najib dan hutang RM1 trilion sehingga tidak mampu memberi bantuan kewangan yang sewajarnya kepada rakyat yang memerlukan.

Sesungguhnya tiada yang benar, melainkan insan bernama Mahathir Mohamad sahaja. UTUSAN TV

Tiada ulasan: