HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2021

Rina, berhati-hatilah… ini dunia politik bukan dunia lain

ANALISIS

Tidak perlu berdolak-dalik dan tidak perlu cakap berlapik sebaliknya mengakulah secara ikhlas bahawa Datuk Seri Rina Harun sudah melakukan kesilapan apabila bergaya di pejabat.

Tindakan itu jauh lebih baik daripada memberi seribu alasan, apatah lagi tindakan tidak cerdik menyalahkan media yang dituduh mengambil sudut negatif berhubung Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat itu.

Sebenarnya, penulis kagum dengan transformasi yang berlaku kepada Rina. Alhamdulillah, beliau tampil bergaya dan boleh menjadi contoh kepada wanita-wanita lain, semua itu tidak salah.

Tetapi apabila beliau bergaya bagaikan model sehingga tersebar satu klip video menyindir beliau menduduki tempat pertama wanita tercantik di Malaysia, maknanya beliau sudah melakukan kesilapan walaupun mungkin beliau tidak sedar kesan daripada tindakannya.

Orang mesti la tanya dalam keadaan negara berhadapan 1001 masalah, tak kan la ada menteri boleh buat ‘shooting’ baju kat pejabat. Banyak mana masa yang dihabiskan untuk ‘shooting’ tu. Walaupun 30 minit sekali pun, sebagai seorang menteri, ia masa yang cukup berharga.

Sepatutnya Rina sendiri perlu lebih bijak bagaimana mahu mempromosikan diri, kalaulah beliau berniat berbuat demikian. Tak salah pun nak menunjukkan penampilan terbaru Rina dan tak salah juga mahu memperagakan pakaian apapun, tetapi kena pandai-pandai la.

Contohnya Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ingat tak macam mana beliau muncul pada sidang akhbar setiap hari dengan memakai baju batik yang coraknya cukup cantik, hingga akhirnya ia mendapat perhatian netizen. Bukan Ismail Sabri atau team beliau yang promo sebaliknya netizen yang melakukannya.

Mereka membandingkan corak-corak baju batik Ismail Sabri dengan kuih-kuih. Ismail Sabri pun terhibur dengan gelagat netizen. Tetapi cuba bayangkan kalau Ismail Sabri pun buat macam Rina, memperagakan baju-baju batik tersebut di atas kereta kebal atau di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, agak- agak apa reaksi netizen.

Tetapi Ismail Sabri tak ada masa nak buat macam tu, banyak urusan negara perlu beliau selesaikan. 5 minit sekalipun cukup berharga, lagipun kebetulan baju-baju tu rekaan menantunya, beliau hanya pakai sahaja, bila dapat perhatian netizen nak buat macam mana.

Kita tak nafikan Rina turun padang bertemu rakyat dan bekerja keras sebab khabarnya semua aktivitinya sudah dimasukkan dalam Facebook kementerian, baguslah macam tu tetapi nampaknya tindakan beliau bergaya lebih mendapat perhatian.

Kerana apa? Sebab beliau adalah menteri. Rina perlu juga belajar daripada Kamala Harris. Naib Presiden Amerika Syarikat itu sering mendapat perhatian kerana penampilannya, tetapi tu bukan bermaksud Kamala Harris bergaya macam model kat atas bumbung White House, kat pejabat beliau atau tepi ‘The Beast’ (kereta rasmi Presiden AS), sebaliknya ia disedari oleh netizen dan media ketika beliau muncul di majlis-majlis awam.

Kita faham Rina mahu membantu pereka fesyen bumiputera, Alhamdulillah, baguslah. Cuma ‘strategi’ kena betul, tak perlu buat ‘shooting’ kat pejabat , kat rumah atau mana-mana. Hadir sahaja mesyuarat atau majlis, siarkan gambar beliau di Facebook atau media sosial kementerian, lama kelamaan orang akan sedar.

Maknanya, ‘sambil menyelam minum air’ . Dengan penampilan terbaru Rina, penulis percaya ia pasti dengan cepat mampu menarik perhatian netizen. Tambahan pula sekarang ni bukan sahaja kaum wanita minat bab-bab penampilan tu, lelaki pun ‘sama naik’ sahaja.

Jadi sekali lagi penulis nak kata, tak salah apa yang dilakukan oleh Rina, cuma yang salah tu beliau ‘berubah seketika jadi model’ itu sahaja. Rina tidak harus membuka dirinya menjadi sasaran ‘serangan’ politik yang tidak sewajarnya. Pakatan dah tiada, belajarlah daripada pengalaman lalu.

Kalau beliau ‘diserang’ kerana memperjuangkan sesuatu isu berkaitan wanita, tak apa juga, malangnya beliau dikecam, dikritik dan menjadi bahan lawak kepada perkara yang orang kata ‘tak berbaloi’. Semoga apa yang berlaku akan menjadi pengajaran untuk Rina kerana beliau berada dalam dunia politik bukan dunia lain, jadi berhati-hatilah…

Tiada ulasan: