HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2021

Sri Ram: Pendedahan Thomas tak langgar kerahsiaan peguam-anak guam

Malaysiakini

Tokoh perundangan, Gopal Sri Ram menolak hujah bahawa bekas peguam negara Tommy Thomas terikat dengan kerahsiaan peguam dan anak guam berkenaan dengan pendedahan bekas peguam negara itu dalam memoirnya.

Sri Ram, yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan menyorot bahawa pendedahan penyataan itu tidak termasuk dalam Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

Seksyen 126 antara lain menyatakan bahawa tidak ada peguam yang diizinkan, kecuali dengan persetujuan anak guamnya, untuk mendedahkan komunikasi yang diberi kepadanya ketika menjalankan fungsinya sebagai peguam kepada anak guam itu.

Namun, seksyen itu juga menyatakan ia tidak termasuk situasi di mana komunikasi antara peguam dan anak guam tersebut dilakukan untuk tujuan yang tidak sah, atau di mana peguam melihat sebarang kesalahan atau penipuan yang dilakukan semasa dia memberikan khidmatnya.

"Kerahsiaan profesional perundangan ditadbir oleh Seksyen 126 Akta Keterangan 1950. Melihat perkara yang didedahkan oleh Thomas, ia nampaknya tidak termasuk dalam ruang lingkup Seksyen 126," katanya.

"Sebahagian besar apa yang dikatakan oleh Thomas adalah komen mengenai perkara yang diketahui ramai. Oleh itu, saya tidak melihat apa-apa yang salah," kata Sri Ram kepada Malaysiakini.

Dia menjawab kenyataan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengenai pendedahan Thomas dalam memoir bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Sementara itu, seorang lagi tokoh perundangan, yang meminta namanya tidak disebutkan, mengatakan bahawa Thomas telah mewakili negara dengan kemampuannya sebagai bekas peguam negara.

"Dia tidak mewakili (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad) sebagai individu. Oleh itu, hujah kerahsiaan peguam dan anak guam tidak boleh dipakai," katanya kepada Malaysiakini.

Haniff sebelum ini mengatakan bahawa pendedahan Thomas itu tidak seharusnya dibuat kerana dia tetap terikat pada konsep asas kerahsiaan peguam dan anak guam, pelanggan yang melarang peguam mendedahkan sebarang nasihat yang diberikan kepada anak guam semasa dalam perkhidmatan.

Di antara pendedahan yang dibuat dalam buku itu adalah dakwaan bahawa Mahathir telah campur tangan dan berkeras untuk dilantik sebagai perdana menteri sementara ketika Agong mencadangkan agar jawatan itu disandang Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika itu.

Berdasarkan petikan dari buku itu, Haniff, yang pernah mewakili Mahathir sebagai peguam dalam beberapa cabaran undang-undang pada masa lalu, mempertikaikan pandangan Thomas bahawa bekas perdana menteri itu secara sukarela telah melepaskan jawatannya pada Februari tahun lalu dan seterusnya mencetuskan pergolakan politik yang membawa kepada Perikatan Nasional (PN ) mengambil alih Putrajaya.

Haniff juga mendakwa bahawa pandangan Thomas terhadap Mahathir nampaknya bertentangan dengan pendapatnya yang dilaporkan, mengenai isu yang sama tahun lalu, bahawa tidak ada had masa untuk perdana menteri sementara memegang jawatan.

Memoir setebal 573 halaman ini dijual oleh penerbit bebas Gerak Budaya.

Tiada ulasan: