HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2021

Muslimat PAS kunjung pondok, santuni warga penduduk

HARAKAH DAILY

PERMATANG PAUH: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh telah menyantuni warga emas di Pondok Tuan Guru Haji Abu Bakar dan penduduk yang sakit, di sini kelmarin.

Program ini selain bertanya khabar keadaan semasa, kunjungan juga berhasrat untuk menceriakan dan memupuk rasa kasih sayang terhadap penghuni warga emas yang telah mendedikasikan diri di pondok ini.

Sedikit pek barang keperluan makanan turut telah disumbangkan kepada mereka bagi meringankan beban kehidupan yang disampaikan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Permatang Pauh, Fatimah Abdul Hamid.

Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad yang turut sama berkata, kunjungan dalam norma baru amat mencabar kerana sedikit terbatas untuk beramah mesra, lebih-lebih lagi terhadap warga emas.

“Rasa seolah-olah bertemu mak, pak dan tok wan kita, namun menyedari akan risiko penularan COVID-19, kita patuh dengan menghadkan masa, menjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan turut menasihatkan mereka untuk mengamalkan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, semangat dan kesungguhan warga emas ini yang komited menghuni pondok demi menuntut ilmu dengan kuliah-kuliah dan kelas pengajian sangat memberi inspirasi kepada anggota Muslimat PAS.

Turut diziarahi warga emas di sekitar Permatang Tengah, Kubang Semang yang menghadapi penyakit kronik seperti strok, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain dalam memberikan semangat agar tabah menempuh ujian dihadapi.

Antara pimpinan Permatang Pauh yang bersama-sama dalam ziarah ini ialah Ketua Jentera Pilihan Raya Parlimen, Mokhtar Muhamad dan Ketua Jentera Pilihan Raya DUN Penanti, Amir Hamzah Abdul Hashim serta Ahli Jawatankuasa PAS, Ustaz Zakaria Hamzah. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: