HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Februari 2021

UMNO sudah mati, takkan Tun M mahu U-turn? – Zahid Hamidi

Manzaidi Mohd Amin
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebelum ini Tun Dr. Mahathir Mohamad lantang menuduh UMNO sudah hancur, Barisan Nasional (BN) sudah tidak ada lagi, manakala ahli dan pemimpin yang tinggal dalam parti itu pun sudah tidak larat.

Mantan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga melafazkan “Innalillahi wainna ilaihi raajiun” sebagai tanda UMNO sudah mati dan ramai ahlinya minta masuk PH serta PPBM.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengingatkan kata-kata Dr. Mahathir kepada barisan kepimpinan sedia ada, bahawa manta Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu pernah menyuruhnya membubarkan UMNO kerana mengganggap parti itu sudah tiada.

“Siapa masih ingat kenyataan ini? Dia kata, BN dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Yang ada hanyalah UMNO, itupun sekadar pada nama sahaja.

“UMNO dah hancur, banyak ahli minta nak masuk PH dan PPBM. Yang tinggal nak jalan pun tak larat dah.

“Dia kata, dia sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO, tetapi UMNO sertai kerajaan campuran sebagai parti UMNO, ini tidak dapat diterimanya,” katanya yang dipetik hantaran dalam Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, beliau masih tidak lupa pada 9 November 2019, Dr. Mahathir memintanya membubarkan UMNO, dengan alasan parti terbesar orang Melayu itu dianggap sudah tiada.

“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘u-turn’ paling drastik menyatakan beliau masih sayang UMNO dan bersedia kembali kepada UMNO, tetapi kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

“Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang lain mendengar kata-kata Dr. Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka.

“Saya fikir rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi PH dan PPBM ini membuat pusingan U setajam itu,” katanya.

Katanya, ramai melihat Dr. Mahathir kini seperti hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ketujuh.

Ujar beliau, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memecatnya, manakala PH tidak lagi mempedulikannya, malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula tidak meluluskan pendaftaran parti baharunya.

“Makanya, perlu cari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, rakyat tahu syarat yang ditetapkan Dr. Mahathir itu sekadar alasan, sedangkan UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya.

“Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini, atau juga strategi sama beliau pada PRU14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan BN.

“Sejarah 2018 membuktikan siapa sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri.

“Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar, siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO ketika itu?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: