HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2021

96 peratus responden setuju menteri jangan jadi Pengerusi Suruhanjaya Polis

CADANGAN Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) tidak dipengerusikan oleh menteri atau ahli politik ternyata mendapat sokongan padu daripada orang ramai.

Ia terbukti apabila dalam kaji selidik UtusanTV bertajuk, ‘’Setujukah anda jika Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) TIDAK diketuai oleh menteri atau ahli politik?’’ sebanyak 37,197 atau 96 peratus daripada 38,590 responden bersetuju manakala 1,394 atau 4 peratus tidak bersetuju.

Kaji selidik yang bermula pukul 10 pagi semalam itu setakat ini sudah mendapat hampir 72,000 klik. Undian akan diteruskan sehingga pukul 10 pagi esok.

Isu SPP mula mendapat perhatian apabila Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara kelmarin mencadangkan suruhanjaya itu tidak lagi dipengerusikan oleh menteri.

Sebaliknya, kata Abdul Hamid individu tidak berpihak seperti bekas ketua hakim atau hakim wajar dilantik menduduki jawatan itu.

Bagaimanapun pakar-pakar perundangan berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan jawatan Pengerusi SPP diberikan kepada golongan profesional seperti seorang hakim atau bekas hakim.

Pakar Perlembagaan, Prof.Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz berkata, SPP ditubuhkan mengikut Perkara 140 (3) (a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jawatan pengerusi kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis (Menteri Dalam Negeri).

Beliau berkata, pindaan terhadap jawatan pengerusi itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

‘’Maknanya Perlembagaan telah menetapkan bahawa menteri yang dipertanggungjawabkan itu sebagai Pengerusi SPP, ‘’ katanya yang turut bersetuju dengan cadangan Abdul Hamid.

Bagi memastikan ketelusan undian, pengunjung hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk setiap alamat internet protokol (IP).

Semasa tempoh undian, pasukan lama web UtusanTV juga memantau dengan dekat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penggunaan robot. Pengundian menggunakan WP-Polls (Undian WordPress) – perisian yang dikenali sebagai mempunyai peraturan yang ketat.

UtusanTV adalah platform media pelbagai kandungan berita semasa dan bisnes yang diolah bagi menampilkan perspektif yang mudah difahami umum.

Kandungan portal ini menggabungkan enam majalah yang dikenali sejak berzaman iaitu Mastika (1941), Wanita (1969), URTV (1970), Al Islam (1974), Saji (1995) dan Hijab (2013). – UtusanTV

Tiada ulasan: