HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2021

Tiada nama calon PM, akar umbi UMNO semakin hilang keyakinan

AGENDA DAILY


Kebiasaannya secara tradisi Presiden parti secara automatik adalah calon PM yang akan mengemudi UMNO dalam PRU.

Kengganan UMNO menamakan calon Perdana Menteri (PM) mengakibatkan akar umbi parti semakin resah dengan hala tuju parti tersebut dan mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Beberapa pemimpin akar umbi yang ditinjau Agenda Daily memberitahu tindakan pucuk pimpinan parti yang masih berteka-teki dan merahsiakan nama calon PM memberi kesan moral kepada mereka untuk berkempen kepada rakyat dibawah bagi mendapatkan sokongan untuk memilih semasa pilihan raya nanti.

“Kalau diadakan pilihan raya nanti, bagaimana kami mahu turun ke bawah dan menjelaskan hala tuju parti dan berkempen kepada rakyat supaya menyokong UMNO.

“Kegagalan UMNO memberi nama calon PM yang sepatutnya kebiasaan sebelum menghadapi PRU memberikan kesukaran kepada kami untuk membuat penerangan kepada rakyat dibawah,” kata seorang Ketua Bahagian di utara tanahair yang meminta dirahsiakan identitinya.

Kebiasaannya secara tradisi Presiden parti secara automatik adalah calon PM yang akan mengemudi UMNO dalam PRU, bagaimanapun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terpalit dengan pelbagai kontroversi masih tidak diumumkan secara rasmi akan menjadi calon PM untuk UMNO berdepan PRU nanti.

Malahan, Zahid kini berdepan dengan kritikan dan asakan supaya meletak jawatan selepas terbongkar pakatan sulitnya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas sumber, sekiranya Zahid diangkat sebagai calon PM bagi UMNO sekalipun, ia juga akan memberi masalah kepada mereka untuk berdepan dengan rakyat yang pastinya akan mempersoalkan banyak isu kredibiliti dan integriti Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Jika letak nama Zahid sebagai calon PM, adakah ia akan menyelesaikan masalah dalaman UMNO? Jawapannya pasti tidak… Presiden sendiri pun tidak ada keyakinan dirinya untuk diangkat sebagai calon PM.

“Jika beliau rasa dirinya layak diangkat sebagai calon PM, akar umbi dan rakyat dibawah pasti tidak percaya kerana usahanya sebelum ini yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Anwar seperti tular klip audio sebelum ini,” katanya lagi.

Seorang Ketua Pemuda UMNO di Kuala Lumpur memberitahu Agenda Daily, langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah dalaman UMNO yang sedang dihadapi ketika ini adalah mengadakan pemilihan parti dengan segera, bagaimanapun melihat kepada situasi semasa ia satu perkara yang mustahil dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

“Masalah Covid-19 pun belum selesai, kalau hendak buat pemilihan ia pasti juga sukar memandangkan ahli UMNO perlu mengikut pematuhan SOP yang ketat nanti.

“Calon-calon jawatan tertinggi juga sukar untuk bergerak dan berkempen tidak seperti kebiasaan apabila tiba pemilihan parti mereka akan turun ke bawah dan berkempen bersama dengan akar umbi untuk mendapatkan sokongan… tetapi dengan norma baharu sekarang ini ia mungkin agak sukar dan pergerakan semasa berkempen juga mungkin akan terbatas,” katanya lagi.

Menurut Ketua Pemuda itu lagi, kemelut dalaman UMNO ketika ini berpunca daripada kelemahan Presiden sendiri yang bertindak diluar batas apabila membuat pakatan sulit dengan Anwar dan ia secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang senang dikalangan akar umbi.

“Kenapa Zahid pergi buat pakatan dengan Anwar walhal kita tahu orang UMNO tidak akan dapat menerima PKR sebagai rakan kongsi… bukan kah semasa Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini sudah dibuat ketetapan menolak Anwar dan kerjasama dengan blok pembangkang.

“Ini Presiden sendiri yang cari pasal dan masalah yang timbul sekarang ini semua berpunca daripada Zahid sendiri tapi ia diheret sehingga akar umbi yang menjadi mangsa… kami lah yang kena buat penjelasan kepada rakyat dibawah nanti, Zahid tahu arah itu ini sahaja,” katanya lagi.

Zahid yang kini masih kekal memegang jawatan Presiden parti dilihat seolah-olah cuba menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021.

Jawatan Presiden yang disandang Ahmad Zahid menjadi rebutan beberapa pimpinan lain, antara yang disebut-sebut menyertai perlumbaan untuk merebut jawatan Presiden adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, pembaharuan dalam barisan kepimpinan masih tidak boleh dibuat sekiranya Zahid masih ingin mengekalkan kuasa sehingga pemilihan diadakan nanti

Tiada ulasan: