HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Mei 2021

Adakah Sosma sah? Itu persoalannya

Peguam S Selvam (kiri) bersama B Subramaniam (kanan) dan seorang lagi 
tahanan A Kalaimughilan. Selvam menunggu peluang lain untuk mencabar 
Sosma di Mahkamah Persekutuan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pada Oktober 2019, polis menahan pemilik restoran B Subramaniam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 dan menuduhnya terlibat dalam rancangan menghidupkan kembali LTTE, sebuah kumpulan gerakan bersenjata selama puluhan tahun untuk orang Tamil di Sri Lanka.

Peguamnya, S Selvam, mencabar penahanan tersebut dengan alasan kuasa pegawai polis untuk menahan seorang suspek di bawah Sosma selama 28 hari telah hilang pada 31 Julai 2017 kerana resolusi yang diluluskan oleh Parlimen tidak diwartakan oleh menteri dalam negeri.

Mahkamah Tinggi menolak cabaran itu, dengan mengatakan persetujuan badan perundangan sudah mencukupi dan pewartaan itu tidak wajib.

Subramaniam mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi ia menjadi akademik apabila pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada awal tahun 2020.

Sejarah kini berulang.

Peguam berkenaan sekali lagi menggunakan alasan yang sama ketika Rahmat Fitri Abdullah, seorang penolong penguasa polis, ditahan pada 26 April lalu di bawah Sosma kerana didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan buruan, Nicky Liow.

Kes Rahmat dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada Rabu, tetapi dia dibebaskan dua hari sebelumnya dengan jaminan polis, menjadikan permohonannya bersifat akademik. Sembilan anggota polis lain yang ditahan di bawah akta sama juga dibebaskan namun hujah yang dikemukakan Selvam tidak pernah dihadapkan ke mahkamah.

Tetapi persoalannya tetap ada. Adakah Sosma terbatal dan tidak sah?

Malah hakim Mahkamah Tinggi Abdul Karim Abdul Rahman, yang akan mendengar kes Rahmat, menegaskan bahawa Rahmat telah mengemukakan persoalan undang-undang yang menarik.

“Ini adalah kes kali kedua yang tidak bernasib baik, tetapi saya rasa saya perlu menunggu kes lain untuk mencabarnya di Mahkamah Persekutuan,” kata Selvam kepada FMT.

Selvam berkata, walaupun pegawai polis diberi kuasa di bawah Seksyen 4(5) Sosma untuk menahan suspek bagi tujuan siasatan, tetap ada batasan dalam undang-undang.

Beliau berkata, Seksyen 4(11) Sosma menyatakan bahawa subseksyen (5) akan dikaji setiap lima tahun dan akan tamat berkuatkuasa melainkan jika ada ketetapan yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan di Parlimen untuk memanjangkan tempoh operasi peruntukan berkenaan.

“Dari penelitian saya, kuasa seorang pegawai polis untuk menahan seorang suspek di bawah Sosma selama 28 hari telah hilang pada 31 Julai 2017 kerana ketetapan tersebut tidak diwartakan oleh menteri dalam negeri,” katanya.

Sosma yang juga undang-undang prosedural, digubal untuk menangani kes keganasan dan kesalahan keselamatan yang berkuat kuasa pada 22 Jun 2012.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili ASP Baldev Singh dari Balai Polis Sentul, yang turut terbabit dalam kes itu berkata, akan ada kesan yang besar jika penahanan Sosma dinyatakan sebagai tidak sah.

Rahmat dan Baldev adalah antara 10 anggota polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditangkap dan disiasat berhubung penipuan dan pengubahan wang haram.

“Semua tangkapan oleh polis dan penahanan jika sabit kesalahan boleh dicabar,” kata Gobind.

Beliau berkata, peguam menunggu untuk mencabar penahanan seperti itu ke Mahkamah Persekutuan bagi memberi kepastian kepada undang-undang.

“Dua keputusan Mahkamah Tinggi boleh bertentangan tetapi keputusan Mahkamah Persekutuan akan menyelesaikan masalah ini untuk selamanya. Ia juga akan menjadi rujukan kepada mahkamah rendah,” katanya.

Peguam Salim Bashir berkata, penggunaan Sosma untuk tujuan penyiasatan dan pendakwaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa menahan individu tanpa dituduh.

“Di bawah Sosma, suspek boleh ditahan hingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan ke hadapan hakim,” katanya, sambil menambah bahawa mereka yang dituduh boleh ditolak jaminan sementara menunggu keputusan perbicaraan mereka.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu berkata kenyataan suspek yang dirakam semasa siasatan dapat diterima sebagai bukti ketika perbicaraan.

Katanya, Sosma memberikan perlindungan kepada identiti saksi pendakwaan ketika mereka memberikan keterangan.

“Prosedur Sosma adalah penghinaan terhadap aturan undang-undang dan perbicaraan yang adil kepada tertuduh,” tambah beliau.

 

Tiada ulasan: