BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
menyindir kerajaan selepas beliau dikompaun RM3,000 kerana gagal
mengimbas suhu badan dan mendaftar kehadiran di sebuah restoran nasi
ayam pada Mac lalu.
‘’Selepas saya mengaku salah, saya dikompaun RM3k sebab melakukan dua kesalahan langgar SOP Covid, tidak imbas suhu badan, tidak scan MySejahtera.
‘’Saya akan bayar kompaun ini. Boss kedai nasi ayam itu pula kena denda RM10k. Saya dan orang biasa akan disiasat polis dan didenda kerajaan. Kalau menteri-menteri kerajaan langgar SOP, saya tak tahu lah,’’ katanya dalam catatan dalam Facebook beliau.
Dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, Najib dikompaun RM3,000 manakala seorang pengurus restoran itu, Yeok We Hao dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Jelasnya, Wei Hoa didapati gagal mengarahkan Najib mengimbas suhu dan mendaftar diri ketika memasuki premisnya yang terletak di Bukit Bintang, ibu negara.
Manakala Najib dikenakan kompaun atas dua kesalahan iaitu gagal mengimbas suhu badan dan mendaftar kehadiran.
“Pada 6 Mei 2021, kertas siasatan kes pelanggaran SOP norma baharu oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Restoran Nasi Ayam Bukit Bintang telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara.
“Yeok Wei Hao selaku Pengurus Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 apabila gagal mengarahkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama dalam buku daftar sebagaimana yang disyaratkan dalam SOP norma baharu yang sedang berkuatkuasa,” katanya .
Beliau didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempat penyakit berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (NO4) 2021.
Manakala Najib didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan yang sama kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB.
“Pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi COVID-19,” menurut kenyataan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan