Ahmad berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekurang-kurangnya sudah dua kali menjadi mangsa kezaliman Dr Mahathir.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tegas mempertahankan bos partinya, Ahmad Zahid Hamidi berhubung tuduhan mengadakan pakatan rahsia dengan PKR baru-baru ini bagi membentuk sentimen dalam kalangan perwakilan Perhimpunan Agung Umno selain pertuduhan jenayah yang sedang dihadapinya.
Ahmad, yang juga merupakan timbalan menteri ketika Zahid merupakan timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkata, presiden Umno itu menjadi mangsa kezaliman sejak penggal pertama Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
“Zahid dizalimi, bukan sekali tapi dua kali kezaliman yang besar,” kata Ahmad dalam program temu bual isu semasa MalaysiaNow, Talk, Now.
“Pertama, kalau kita lihat sejarah dirinya, dia satu-satunya presiden Umno yang pernah ditangkap di bawah ISA, dan dia pernah masuk penjara, itu dari segi sejarahnya,” katanya merujuk kepada penahanan Zahid pada tahun 1998 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kaitannya dengan gerakan reformasi Anwar Ibrahim.
Ahmad berkata, 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah yang dihadapi Zahid ketika ini juga adalah contoh kezaliman terhadap Zahid.
Beliau juga mendakwa bahawa Zahid dihadapkan ke mahkamah kerana enggan membubarkan Umno dan bergabung dengan Bersatu.
Menurutnya, Zahid telah diminta melakukan demikian namun presiden Umno itu tidak melayan permintaan tersebut.
“Dan akhirnya kerana tidak ada layanan terhadap permintaan itu, maka beliau diheret ke mahkamah atas perkara yang melibatkan yayasannya sendiri.”
Ahmad turut berkata, Zahid layak diberi jawatan timbalan perdana menteri “atau jawatan yang lebih tinggi daripada itu.”
Pada bulan Oktober tahun lalu, MalaysiaNow mendedahkan kandungan surat sokongan yang ditandatangani Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap usaha Anwar menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Zahid juga didedahkan mendekati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan harapan beliau dibebaskan daripada pertuduhan jenayahnya.
Presiden Umno itu kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila beliau bersama Najib menggesa agar Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kerajaan PN.
Usul Zahid itu juga turut mendapat sokongan para perwakilan perhimpunan agung Umno pada Mac lalu.
Sokongan yang ditunjukkan dalam perhimpunan tersebut disifatkan sebagai kejayaan Zahid membungkam pemimpin yang tidak bersetuju dengan rancangan Umno mengambil jalan bersendirian dalam berdepan pilihan raya.
Bagaimanapun, beberapa hari selepas perhimpunan agung, Zahid terlibat dalam kontroversi baru susulan pembongkaran sebuah perbualan telefonnya dengan Anwar.
Dalam rakaman perbualan telefon itu beliau didengar menerima ucapan tahniah dan penghargaan presiden PKR itu kerana mendapat sokongan daripada perwakilan Umno.
Ahmad bagaimanapun enggan mempercayai suara dalam rakaman audio tersebut adalah suara Zahid, walaupun beberapa ahli politik Umno termasuk Annuar Musa dan bekas orang kuat PKR Mohamed Azmin Ali mengenal pasti suara Zahid dan Anwar dalam klip audio tersebut.
Ahmad berkata Zahid menjadi mangsa teknologi pengklonan suara, dengan mengatakan ia sudah wujud dua tahun yang lalu.
“Dua tahun yang sudah, saya ada membaca bagaimana voice cloning dibuat.
“Itu dua tahun yang sudah, sekarang ini lebih canggih digital voice cloning ini,” kata Ahmad kepada Talk, Now.
Dalam temu bual tersebut, Ahmad yang terkenal di media sosial kerana mempertahankan keputusan kerajaan BN memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu turut berbicara bagaimana beliau menghadapi pengkritiknya di media sosial, dan berkongsi pandangan bagaimana beliau dapat terus bertahan bertahun-tahun dalam politik.
“Saya kena teruk, tetapi saya tahu apa yang saya buat itu betul.
“Satu masa, satu ketika, akhirnya saya tahu orang akan faham kenapa pentingnya GST, maka saya tak kisahlah apa mereka cakap,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan