HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Mei 2021

Elak tutup sekolah secara pukul rata, kata PH

Pakatan Harapan berkata, tidak ada makna menutup sekolah yang terletak 
jauh dari kawasan dijangkiti Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pembangkang meminta Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menutup semua sekolah, sebaliknya menggunakan kod warna Covid-19 bagi meminimumkan gangguan dan mengelak kekeliruan.

Pakatan Harapan (PH) berkata, tidak ada makna menutup sekolah di zon hijau atau di kawasan terpencil dan jauh dari zon jangkitan Covid-19.

Ia berkata, kawasan tersebut juga biasanya berdepan masalah sambungan dan akses internet yang rendah.

“KPM perlu membezakan kawasan hijau dan selamat dari kawasan di zon merah, kuning dan berpotensi. Sistem HIDE boleh membantu KPM mengenal pasti sekolah yang sesuai ditutup ataupun tidak,” katanya dalam kenyataan

.Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching, Nik Azmi Nik Ahmad daripada PKR dan mewakili Amanah, Hasan Baharom.

Pada 26 April, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan diadakan secara atas talian selama dua minggu selepas cuti Hari Raya berdasarkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

Ia akan dilaksanakan bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah dalam Kumpulan A (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan dari 17 hingga 28 Mei bagi sekolah Kumpulan B (di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Radzi berkata, langkah itu diambil bagi menghindari risiko jangkitan wabak Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi menyambut Hari Raya yang dijadualkan bermula pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah Kumpulan A dan dari 8 hingga 16 Mei bagi sekolah dalam Kumpulan B.

Bagaimanapun pembangkang menyifatkan langkah itu sebagai reaksi gopoh yang tidak mengambil kira data saintifik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini bakal dilakukan tanpa adanya apa-apa pendekatan lebih kreatif dan ‘di luar kotak’ dalam berhadapan dengan pembelajaran pada masa pandemik.

“KPM bagaikan mendiamkan diri dan gagal meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu untuk mengatasi masalah ‘lost generation’,” katanya.

Memetik kebimbangan ibu bapa pelajar SPM kenyataan itu berkata, satu sistem alternatif harus diwujudkan dengan segera untuk kumpulan ini yang berada dalam tahun pendidikan yang penting.

“KPM juga boleh menggunakan sistem penggiliran persekolahan.

“Sebagai contoh, bagi pelajar yang akan menghadapi SPM tahun 2021, mereka dicadangkan menghadiri ke sekolah setiap hari.

“Namun bagi pelajar Tingkatan 4, mereka boleh hadir ke sekolah pada Isnin untuk PdPc, hari Selasa PdPR, hari Rabu PdPc, hari Khamis DidikTV, dan hari Jumaat ke sekolah untuk PdPc.”

Kenyataan itu menyebut banyak pihak bimbang berhubung nasib pelajar SPRM tahun ini yang tidak hadir ke sekolah hampir sepanjang tahun lepas, dengan kebanyakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dibuat secara atas talian.

“KPM sepatutnya mengurangkan topik subjek sesuai dengan tempoh pembelajaran mereka yang sebenar. Hakikatnya, semasa mereka berada di Tingkatan 4 tahun lalu, tiada PdPR yang tersusun dan mereka seolah-olah kehilangan setahun pembelajaran,” katanya.

Pembangkang juga berkata, jumlah pelajar cicir juga mungkin meningkat dalam keadaan sekarang, sekali gus menyuarakan kebimbangan ia mungkin menyebabkan masalah sosio-ekonomi dengan kadar jenayah yang tinggi melibatkan mereka.

“KPM perlu bertanggungjawab dan melakukan tindakan proaktif, radikal dan kolektif berhubung hal ini sebelum terlambat.”

Tiada ulasan: