HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mei 2021

Benarkan Parlimen bersidang untuk buktikan siapa ada ‘moral standing’ – Puad

Manzaidi Mohd Amin
Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Benarkan Parlimen bersidang untuk dapatkan jawapan siapa yang tidak ada ‘moral standing’ antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Najib tidak ada ‘moral standing’ untuk menegur kerajaan PN.

“Jika begitu, apakah Bersatu ada ‘moral standing’ untuk memerintah dan terus jadi kerajaan?

“Terbaru ialah pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Dia tuduh menteri dari parti Bersatu melakukan banyak campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia.

“Bahkan, Abdul Hamid mendedahkan isu katak dalam Bersatu. Dia dakwa isu lompat parti babitkan soal rasuah. Bekas Ketua Polis Negara ini yakin, sebab itu dia minta SPRM siasat,” katanya yang dipetik berkata menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Isnin lalu, Wan Saiful dalam kenyataan kepada media mendakwa, Najib sebenarnya tidak memiliki ‘moral standing‘ untuk memberi pandangan terhadap apa yang perlu dilakukan kerajaan pada ketika ini.

Menurutnya, tindakan Najib ketika ini adalah menjengkelkan dan membuatkan rakyat tertanya-tanya mengapa beliau tidak melakukan semua itu ketika masih berkuasa.

“Sekarang ini banyak betul pandangan beliau mengenai apa patut kerajaan lakukan, tetapi saya rasa Najib tidak mempunyai ‘moral standing‘ untuk berbuat demikian. Kita jangan lupa sejarah yang berlaku, bagaimana Najib tinggalkan begitu besar masalah dalam Malaysia,” kata bekas calon Parlimen Pendang PRU-14.

Mengulas lanjut, Mohd Puad mempersoalkan, apa ‘moral standing’ parti Bersatu untuk terus menjadi kerajaan, yang mana menjadi tanda tanya.

Tegas beliau, jika parti itu bermoral, hendaklah segera mengadakan sidang Parlimen, biar Dewan Rakyat itu menentukan majoriti sebenar kerajaan pimpinan Bersatu.

Beliau turut menyenaraikan kegagalan kerajaan PN dalam memerangi wabak Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan mengatasi masalah rakyat yang kehilangan pekerjaan.

“Apakah Najib tidak ada ‘moral standing’ untuk menegur kerajaan hari ini yang gagal tarik pelabur asing dan kehabisan duit?

“Apatah lagi kerajaan PN terus meningkatkan hutang negara, menjual aset dan mengambil duit dari Kumpulan Amanah Wang Negara (KWAN). Sebab itu UMNO tarik diri daripada PN,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: