JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Johor, Pas dan Gerakan akan memulakan rundingan pengagihan kerusi dalam
masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal
berkata, mesyuarat rundingan itu akan dimulakan sebaik mendapat lampu
hijau Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.
“Bersatu Johor, Pas dan Gerakan akan bermesyuarat tidak
lama lagi bagi pembahagian kerusi sebaik sahaja pucuk pimpinan memberi
kebenaran.
“Setakat ini kami masih belum mempunyai formula agihan berapa yang akan setiap parti dapat.
“Namun kami akan pastikan perbincangan dilakukan dengan
strategi terbaik dan semua parti akan berpuas hati,” katanya pada sidang
media selepas majis berbuka puasa anjuran Bersatu Johor dengan Media
Johor di sini.
Gerakan adalah parti politik terbaharu yang diterima menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, dilaporkan berkata,
perkara pihaknya menerima surat pengesahan yang ditandatangani Muhyiddin
yang juga Pengerusi PN.
Ditanya sama ada UMNO Johor akan menyertai rundingan itu
berikutan Bersatu Johor menyokong parti berkenaan menubuhkan kerajaan
negeri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Februari tahun
lalu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama
dengan parti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya tiada rundingan dilakukan bersama UMNO Johor pada masa ini.
“Apatah lagi maklum balas UMNO kebelakangan ini lebih
banyak menghentam Bersatu dan pemimpin kami, selain secara terbuka
menyatakan mahu memutuskan hubungan.
“Jika lihat kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pun memberi gambaran tiada kerjasama dengan PN.
“Maka PN Johor bersiap sedia menghadapi PRU-15 sama ada
akan ada perlawanan dua penjuru atau tiga penjuru, kami akan bersiap
sedia untuk menghadapinya,” katanya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan