HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Mei 2021

Bubar DUN Sarawak: GPS serah kepada Agong, YDP negeri untuk tetap masa sesuai

GPS mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan 
Sultan Abdullah dan Abdul Taib Mahmud untuk membuat keputusan, kata 
Alexander Nanta Linggi. (Gambar Bernama)

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Yang Dipertua Negeri Abdul Taib Mahmud untuk memutuskan masa yang sesuai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata, bawah perlembagaan negeri, tempoh DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun, iaitu genap lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan bawah perlembagaan negeri tidak mempunyai kesan susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“Oleh itu, pembubaran DUN akan ditetapkan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Sultan Abdullah selepas berunding dengan Abdul Taib. Kami mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan.

“Ketua Menteri (Abang Johari Tun Openg) juga akan menghadap Sultan Abdullah,” kata Nanta kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi GPS di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang situasi semasa wabak Covid-19, kehidupan rakyat adalah keutamaan GPS.

Tiada ulasan: