HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Mei 2021

Adun Chukai pula dikompaun RM2,000 langgar SOP ziarah Aidilfitri

Hanafiah Mat hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan dikenakan 
kompaun RM2,000 kerana melanggar SOP. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang lagi EXCO Terengganu didenda RM2,000 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) berkait larangan ziarah Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat dipanggil memberi keterangan selepas gambarnya melawat anak yatim dan memberi duit raya pada pagi 1 Syawal (Khamis lalu) tular di media sosial.

“Adun Chukai terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira 9 malam tadi dan dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar SOP ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam catatan menerusi laman Facebook, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, beliau reda apabila dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

“Saya menerima panggilan daripada seorang ibu mengatakan anaknya teringin makan satay pada pagi raya sebelum saya ke sana untuk menghantar hidangan itu bersama kuih dan duit raya untuk anak mereka.

“Ketika itu, ada dalam empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama.
“Saya reda (dikenakan kompaun), sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada Allah SWT (nanti), amanah yang orang letakkan ke atas saya sebagai wakil rakyat, saya sudah tunaikan permintaan mereka.
“Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun,” katanya.

Terdahulu, ADUN Jabi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Azman Ibrahim didenda RM2,000 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana menerima tetamu pada 1 Syawal.

Tiada ulasan: