HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Dakwaan bekas KPN perlu dibuktikan dan diberi perhatian segera – DUPP

Manzaidi Mohd Amin
norhamzah
Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Pendedahan ekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dibuktikan dan diberi perhatian segera.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Mohd Nor Hamzah berkata, saranan beliau itu dibuat berdasarkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan mengajak semua pihak bergerak atas pembuktian dan hujah, bukan persepsi serta emosi.

“Ramai salah faham dengan kenyataan saya kelmarin dan tidak memerhati secara keseluruhan, bahkan ramai yang terpengaruh dengan reaksi emosi sesetengah pihak.

“Fokus saya ialah mengenai pendedahan kewujudan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam institusi dan pihak-pihak tertentu.

“Oleh itu, saya menganggap aduan itu tidak cukup dengan tuduhan, tetapi perlu dibuktikan dan diberi perhatian segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Mohd Nor dilaporkan berkata, tindakan Abdul Hamid mendedahkan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran PDRM tidak wajar.

Ini kerana dakwanya, pendedahan itu akan mengundang sangkaan berunsurkan fitnah dan dakyah terhadap politik semasa apabila timbulnya persepsi jahat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Adakah beliau telah lupa terhadap Akta Polis Seksyen 4 (1), di mana dia sebagai KPN bertanggungjawab kepada Menteri Dalam Negeri (KDN). Sikap beliau hanya membawa cerminan buruk dengan semata-mata dakwaan,” kata Mohd Nor.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, apa yang dimaksudkannya ialah Abdul Hamid perlu membuat aduan itu mengikut prosedur undang-undang dengan segera bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan seadilnya kepada golongan yang dinyatakan itu.

Katanya, kerajaan juga perlu segera memperbetulkan kebobrokan sistem yang wujud dengan pengamalan salah undang-undang hari ini, mewajibkan orang yang didakwa untuk mendatangkan bukti bagi menangkis dan membuktikan dia tidak bersalah.

“Hal ini sudah terbalik dan sangat bertentangan dengan prinsip undang-undang sebenar. Saya tidak mahu semua orang hanya menggunakan dakwaan dan tuduhan sahaja tanpa keterangan yang jelas dan nyata.

“Dalam kes ini, pihak yang mendakwa dan menuduh wujudnya salah laku dalam kementerian perlu mendatangkan bukti di mahkamah atas dakwaan yang disebutkan itu.

“Sekiranya penghakiman mahkamah berjaya membuktikan orang yang dituduh itu bersalah, maka jatuhkanlah hukuman ke atasnya dan tiada siapa mahu menghalangnya,” katanya.

Katanya, Pas tidak mahu ahli politik, bahkan sesiapa sahaja yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa serta rasuah dibebaskan begitu sahaja dan tidak diambil tindakan setimpalnya.

Tegas beliau, mana-mana pihak mesti berani mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang dalam membanteras salah laku dan sebarang kezaliman serta penindasan harus dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan supaya mengambil tindakan pro aktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk membuat siasatan dan kajian menyeluruh serta mengemukakan kertas cadangan mengikut perspektif Islam sebagai penyelesaian isu.

“Kerajaan melalui institusi bertanggungjawab sewajarnya bertindak segera melakukan penyiasatan terhadap apa-apa sahaja aduan dan dakwaan yang mengundang perlanggaran sistem dan undang-undang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: