HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Mei 2021

Dr Mahathir bangkitkan imbuhan keluar BERSATU untuk tarik perhatian

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya ada orang meminta 'tawaran' imbuhan untuk keluar BERSATU sengaja dibuat untuk menarik perhatian, kata Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, beliau percaya cerita itu sengaja dibuat untuk menarik perhatian terhadap sebuah parti serpihan yang gagal memikat orang ramai setakat ini.

"Saya tidak pernah dengar isu ini dalam BERSATU, begitu juga dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya ada orang tawar dia untuk masuk BERSATU.

"Secara prinsipnya saya boleh katakan BERSATU sentiasa terbuka untuk sesiapa saja yang menyokong dasar dan agenda prihatin rakyat yang sedang kita bawa.

"Namun, saya tegaskan adalah tidak logik jika ada tuduhan bahawa ada sesiapa menawarkan apa-apa imbuhan kepada Dr Mahathir dalam hal ini," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa ada kalangan pemimpin BERSATU menawarkan diri untuk 'lompat' menyertai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) jika parti itu boleh 'menandingi' imbuhan sehingga RM70,000 sebulan yang diterima mereka ketika ini.

Pengerusi PEJUANG itu mendakwa, pemimpin BERSATU itu masih bersama parti berkenaan kerana mementingkan wang, walaupun menyedari Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mampu bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Wan Saiful berkata, beliau tertarik dengan pandangan Dr Mahathir bahawa PRU-15 mungkin tidak menyelesaikan masalah berikutan banyak parti kecil akan bertanding.

"Ini bermakna Dr Mahathir sendiri faham kewujudan parti kecil seperti PEJUANG hanya menambah perpecahan saja dan bukan penyelesaian kepada sebarang masalah pun.

"Jadi ada baiknya rakan dalam PEJUANG berfikir semula adakah mereka mahu jadi penyebab kepada perpecahan seperti dikatakan Dr Mahathir itu," katanya.

Tiada ulasan: