HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Mei 2021

“UMNO jangan obses dengan jajaran baharu hingga lupa setiakawan”

AGENDA DAILY

Jurucakap rasmi MCA yang juga Timbalan Ketua Penerangan MCA, Wong Siew Mun.

MCA mengingatkan UMNO supaya tidak terlalu obses dengan jajaran baharu politik yang ingin mereka jalinkan, sehingga melupakan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).

Jurucakap rasmi MCA, Wong Siew Mun berkata, MCA sentiasa konsisten menyokong UMNO sejak berada di bawah payung BN, meskipun ketika UMNO menghadapi saat getir ketika ditolak pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-10.

“Dahulu semasa tahun 1999, ketika orang Melayu tidak menyokong UMNO, tetapi MCA tetap bersama dengan UMNO, sekarang MCA sedang berusaha mendapatkan kembali sokongan orang Cina.

“Tetapi UMNO pula dia semata-mata hendak kukuhkan kekuatan dia, mereka pergi kepada seorang rakan baharu yang sekian lama UMNO buruk-burukkan, saya rasa wajarlah bekas Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Idris Haron) fikirkan kembali semua perjuangan yang kita UMNO-MCA telah harungi,” katanya kepada Agenda Daily.

Terdahulu, khabar angin semakin kuat kedengaran wujud rancangan untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

Dalam pada itu, DAP sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada UMNO untuk menjalinkan jajaran baharu politik itu namun perlu menerima calon perdana menteri daripada PH Anwar sekiranya mahu bekerjasama.

Sementara itu, Idris menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting yang menyerang UMNO kerana menyokong kerjasama dengan PH tidak perlu dipolemikkan dan MCA perlu berpijak atas bumi yang nyata.

Katanya, MCA bukan lagi parti pilihan masyarakat kaum Cina malah sudah terbukti semasa PRU lalu mereka ditolak secara total dan perkara tersebut perlu diakui MCA.

Mengulas lanjut, Wong berkata kerjasama UMNO-DAP pastinya akan mendapat tentangan daripada pengikut tegar mereka.

“Mungkin ada orang yang fikirkan UMNO tambah DAP, pasti menang tapi jangan lupa ada penyokong tegar yang tak boleh menerima kerjasama antara kedua parti ini.

“Untuk masyaakat Cina yang sekian lama sokong DAP mereka memang tak boleh nak terima UMNO kerana DAP bagitahu masyarakat Cina bahawa UMNO kleptokrat , UMNO rasuah semua itu…jadi macam mana masyarakat Cina boleh terima, jadi saya rasa ialah pertimbangankanlah jangan kerana ada rakan baharu lupakan rakan lama,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, setiap masalah yang dihadapi kini perlu diselesaikan menerusi semangat setiakawan dalam BN.

“UMNO perlu ingat siapa yang bersama dengan mereka ketika senang dan susah, sebenarnya situasi MCA sekarang adalah tanggungjawab bersama (BN), MIC sekarang tanggungjawab BN, bukan kerana MCA buat atau tidak yang menyebabkan Cina tidak sokong tetapi BN secara keseluruhan.

“Kerana selama ini kita berjuang atas tiket BN , kerajaan BN masa PRU pun BN, jadi ini tanggungjawab bersama, jangan sekarang nampak Cina tidak sokong BN ini semua salah MCA, India tak sokong ini salah MIC, bukan kalau satu hari nanti orang Melayu tidak sokong UMNO itu pun tanggungjawab bersama, itulah semangat BN,” katanya lagi.

Tiada ulasan: