KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO menggariskan tiga
perkara penting yang mesti dilakukan UMNO dalam memastikan parti itu
ingin terus meraikan ulang tahunnya.
Pertama, kata Datuk Seri Mohamad Hasan, UMNO mesti dilihat secocok dengan zaman dan jangan terus terbuai dengan nostalgia silam.
“Hentilah cerita zaman gemilang sedangkan kedudukan
semasa sangat bergelora dan tidak secerah dulu,” katanya dalam hantaran
di laman Facebook sempena ulang tahun UMNO ke-75.
Menurut Mohamad, masa depan UMNO adalah rahsia Tuhan
tetapi ikhtiar untuk melangsungkan UMNO adalah ikhtiar ahli-ahli yang
menjadi pendukungnya.
Malah, katanya, dalam segala kebaikan dan kelemahan UMNO, merekalah yang menjadi karyawannya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menarik perhatian mengenai perkara kedua untuk menentukan survival UMNO iaitu para pendukung parti mesti terdiri daripada pelbagai generasi (intergenerational).
Tegas Mohamad, perubahan generasi itu nyata dan mesti diterima.
Ini kerana idea dan pemikiran politik terbaik bukan lagi diukur pada usia pengucapnya tetapi pada kualiti dan kebernasan idea tersebut.
Ketiga, katanya, nilai dan misi UMNO mesti diperjuangkan
oleh mereka yang ikhlas menghidup-hidupi UMNO dan bukan mereka yang
mencari penghidupan dari UMNO.
“Kepada seluruh pendukung UMNO, terima kasih kerana masih bersetia walau dalam susah dan payah UMNO kebelakangan ini.
“Insyallah dengan bekerja kuat, bersifat terbuka dengan
idea dan pemikiran maju serta bersatu padu, UMNO akan pasti menjadi
lebih utuh dan baik.
“Allah, bantulah kami memelihara UMNO ini dengan sebaiknya, aamiin,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan