KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara membuktikan Ordinan Darurat telah gagal.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelaksanaan darurat yang diumumkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) nyata tidak mencapai matlamat sebenar.
“PKP 3.0 diumumkan tandanya Darurat gagal dan demokrasi telah disiakan, rakyat pula hilang punca pendapatan,” katanya hari ini.
Bekas menteri Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata PKP 3.0 kan dilaksanakan di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun depan.
Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 hari ini.
Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut sinis dengan pelaksanaan PKP 3.0 oleh Muhyiddin.
Jelas Guan Eng, kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berbeza dengan kenyataan pada 17 Mac lalu.
Guan Eng berkata ketika itu, Muhyiddin menerangkan kepada rakyat tidak akan melaksanakan PKP secara menyeluruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan