Antara isu yang terus berpanjangan panas dalam setahun ini
HINGAR-bingar isu sumber air antara Kedah dan Pulau
Pinang bukan untuk menarik perhatian atau meraih sokongan populariti
bagi memancing undi. Ianya juga bukan pertembungan politik yang sengaja
diadakan sebagai kesempatan melonjakkan reputasi pasukan sendiri, namun
serentak menurunkan keupayaan pakatan lawan.
Tetapi berbangkitnya
isu ini ekoran maruah diusik dan hak diperlecehkan. Lantaran itu
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tampil tegas menjadi pejuang
demi mempertahankan kedaulatan negeri dan kepentingan rakyat. Ya, pada
roh semangat beliau bagaikan menyinga, tetapi menurut tatacara dan
prosedur beliau masih menghulur salam perundingan.
Malangnya, ada watak ‘lebih sudu dari kuah’ dan ‘mencurah petrol ke api’ yang dengan angkuh memperlekeh dan memanaskan suasana dengan provokasi untuk meletuskan persengketaan. Sedangkan Kedah telah memohon secara baik daripada Pulau Pinang untuk mengenakan caj RM50 juta setahun itu.
Ianya telah dikemuka sejak tahun 2010 semasa Menteri Besar ke-10, Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak. Surat sama pernah diutus Menteri Besar ke-13, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir dua tahun lalu, tetapi Pulau Pinang langsung tidak pernah memberi jawab.
Tiba-tiba apabila ada media melaporkan pembalakan di hutan Ulu Muda, negeri jiran itu menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir Jaseni Maidinsa bersuara memberi amaran kepada Kedah. Peringat mereka, jangan diusik Ulu Muda yang merisikokan terjejasnya sumber air mentah di Sungai Muda. Ia ternyata satu bentuk campur tangan terhadap hak dan kedaulatan Kedah.
Walhal sebenarnya, kerajaan pimpinan Sanusi langsung tiada perancangan merombak atau menukar kelestarian dan alam semulajadi serta status kawasan tadahan air di Ulu Muda yang mengalirkan Sungai Muda itu hingga ke dalam wilayah Pulau Pinang. Tidak semena-mena pihak Pulau Pinang menjadikan PBAPP sebagai meriam membedil Kedah.
Maka perihal penggunaan sumber air ini terpaksa ‘diungkit’ Menteri Besar dengan mengulang tuntutan berkenaan caj RM50 juta itu bagi menyedarkan Pulau Pinang yang mungkin ‘terlupa’. Sedangkan sebarang tindakan Kedah di dalam negeri adalah hak sendiri yang tidak perlu mengikut telunjuk atau mendapat keizinan Pulau Pinang.
Permintaan RM50 juta itu hanyalah sebagai ihsan, kemanusiaan dan kelangsungan hubungan dua negeri berjiran yang itupun menjadi pemerintahan sendiri dengan persetujuan Sultan Kedah pada sejarah asal usulnya. Sedangkan Pulau Pinang dari sumber air percuma tanpa dibayar itu tetap mengenakan caj pada rakyatnya sendiri dan dengan ‘keuntungan’ itu mampu membangunkan negerinya.
Tetapi Kedah, kerana menjaga kepentingan bersama atau berkorban untuk pihak lain itu, negeri ini sendiri ketinggalan berbanding Pulau Pinang dan Perak, bahkan Perlis yang lebih kecil dan ‘sunyi’ darinya. Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebagai syarikat milikan sendiri pun turut membayar caj penggunaan air mentah kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
Jadi mengapa mesti Pulau Pinang mendapatnya secara percuma di sebalik komitmen Kedah menjaga kelestarian kawasan tadahan itu? Maka tuntutan bayaran itu wajar dan adil bagi membolehkan aliran Sungai Muda terus kekal membawa pelbagai limpahan keperluan dan pembangunan Pulau Pinang sendiri. Malangnya, Pulau Pinang memilih untuk berlawan, enggan penyelesaian menang-menang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mulanya seakan bersetuju, tetapi setelah itu menolak permintaan Kedah itu berikutan campur tangan dari Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Ramasamy Palanisamy.
Ketika Sanusi menawarkan rundingan dan Kerajaan Persekutuan sebagai timbang tara, Pulau Pinang pula mengalih tanggungjawab mendesak Persekutuan menyelesaikan pembayaran kepada Kedah. Bahkan Pulau Pinang angkuh untuk mengheret Kedah ke perbicaraan di mahkamah.
Begitu juga ketika Sanusi mengumumkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bertujuan menstabilkan paras air Sungai Muda menerusi pintu kawalan air (baraj) dan 14 kolam takungan sedalam sehingga 30 meter dan lebar 1 kilometer. Pulau Pinang membantah seolah-olah merasa terancam.
Walhal projek tersebut berada dalam sempadan negeri ini di mana ia amat perlu bagi kegunaan rakyat dan pengairan tanaman terutama sawah padi. Ia berikutan pelebaran sungai sebelum ini menyebabkan paras air rendah dan pam SADA menjadi tergantung. Bahkan Menteri Besar turut meminta Pulau Pinang lebih bersedia menghadapi situasi ke depan.
Beliau tidak mengugut sebagaimana didakwa Pulau Pinang, tetapi memberi pilihan bersama setelah di pihak Kedah turut menanggung setidak-tidaknya penyelenggaraan sedemikian. Bukan juga sekadar acah-acah yang dikemuka balas olehnya dengan mengimbas semangat rakyat Kedah dalam membina Terusan Wan Mat Saman.
Campur tangan Pulau Pinang semakin melampau dan ketara apabila mencadangkan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA). Ia di sebalik cadangan seimbang diumumkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menubuhkan Lembaga Lembangan Sungai Muda (MRBA).
Sedangkan, jika Pulau Pinang begitu yakin dengan Riparian Water Rights dipegangnya, mengapa perlu bimbang dengan MRBA yang memang melibatkan sungai antara dua negeri? Tetapi cuba selongkar jauh berpuluh kilometer dari sempadan negerinya untuk sibuk berkenaan kawasan Ulu Muda.
Sanusi tiada pilihan dengan sikap Pulau Pinang yang tetap berkeras dan enggan berdiplomasi itu. Beliau terpaksa mengadakan persiapan di pihak Kedah di mana kesungguhannya terlihat pada pembentukan Panel Pakar Sumber Air Negeri Kedah. Ia melibatkan 16 anggota dengan hanya seorang ahli politik terlibat.
Panel pakar ini terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengairan Saliran dan beberapa penggiat dalam industri air yang memiliki firma-firma konsultan dalam industri air. Juga para pensyarah, ahli kimia, pakar sejarah, dan pakar-pakar teknikal air yang masih berkhidmat di syarikat swasta.
Pandangan mereka diperlukan kerajaan negeri bagi menangani isu-isu berkaitan bekalan air dan juga hubungan negeri-negeri di Utara Semenanjung. Iaitu dalam aspek penggunaan air dan dari sumber yang berasal dari negeri Kedah hingga menghasilkan Pelan Strategik Sumber Air Negeri Kedah melibatkan tiga kluster meliputi perundangan, lembangan sungai dan biodiversiti.
Juga aspek Perundangan Islam berkenaan air serta mewujudkan inisiatif besar kemampuan mengairi seluruh tanah negeri ini. Selain itu, panel ini juga akan mengemukakan pelan untuk meningkatkan KDNK melalui air melibatkan perundangan pengurusan, teknikal dan ekonomi.
Walaupun isu sumber air ini ‘tersampuk’ oleh pertentangan politik, namun para pegawai tadbir negeri juga mengambil peranan aktif membantu Menteri Besar. Mereka turut sama mendukung aspirasi diperjuangkan YAB Haji Sanusi kerana seiring menyedari kepentingan tuntutan dan hak kedaulatan ini serta masa depan negeri.
Berikut adalah antara petikan penting daripada sidang media Sanusi dalam mengulas isu ini:
“Saya nak ‘highlight’ beberapa isu penting dalam pertemuan dengan Panel Pakar iaitu konsep ‘fair and justice’. ‘Fair and justice’ ini sebanyak mana kita guna, sebanyak itu kita bayar.
“Juga dibincangkan ialah tentang ‘Riparian Water Rights’. ‘Riparian Water Rights’ ini ialah bila satu-satu sungai mengalir di sempadan dua negara, maka ada hak di kalangan negara itu untuk menggunakan sumber itu.
“Tetapi ‘Riparian Water Rights’ itu diguna pakai di peringkat antarabangsa ialah diukur dari segi keluasan ‘cashment area’ bagi negara tersebut. Kalau cashment area dia 5 percent, jadi hak dia guna 5 ‘percent’. Kalau ‘cashment area’ dia besar, dia berhak guna banyak.
“Jadi, menjadi pertikaian di beberapa negara sekarang ini termasuk pengguna Sungai Nil. Di mana, negara yang berada di hulu membuat banyak dam, sekatan-sekatan. Jadi, perbincangan terkini tentang ‘Riparian Water Rights’ ini ialah berapa luas ‘cashment area’ yang disumbangkan oleh negara itu bagi menjadi ‘river basin’ kepada sungai itu. Itulah hak negara itu guna air itu.
“Kalau kita ambil kira pandangan ini, ‘cashment area’ bagi Sungai Muda yang dimiliki oleh Pulau Pinang hanya 5 peratus. Maka hak penggunaan air di Sungai Muda oleh Pulau Pinang adalah 5 peratus. ‘Riparian Water Rights’ juga ialah tentang sempadan-sempadan di mana sungai itu lalu.
“Terkeluar daripada ‘Riparian Water Rights’ ini apabila tanah ataupun tempat penggunaan air itu telah terpisah daripada sungai itu. Contohnya, ‘Riparian Water Rights’ mungkin terpakai kepada Seberang Perai dan sekitar kawasan Sungai Muda mengalir. Tapi Riparian Water Rights tidak terpakai kepada Pulau Pinang, pulau yang dipisahkan oleh laut.
“Jika merujuk beberapa kes di Australia dan Kanada, semua negeri-negeri dalam Persekutuan Australia dan Kanada membayar maintainance fee kepada negeri yang mempunyai ‘cashment area’ macam Kedah inilah di Hulu Muda. Dibayar sebagai ‘maintainance fee’.
“Satu laporan berkenaan dengan masa depan industri air ini telah dibuat oleh JECA syarikat Jepun pada 1982, dan ia terpakai di dalam banyak rancangan-rancangan infrastruktur air di Malaysia ini menggunapakai laporan JECA pada tahun 1982 yang di’review’ pada tahun 2010. Yang ini masih terpakailah di Malaysia.
“Dan Kedah ini diistilahkan sebagai ‘water hub’ untuk ‘northern region’ bagi Malaysia dan Kedah memiliki sumber ataupun kawasan tadahan yang besar. Dan Kedah dinasihatkanlah oleh Panel Pakar ini untuk mengembangkan potensi sebagai ‘water hub’ bagi Utara Semenanjung ini untuk mengadakan rancangan yang teliti untuk kegunaan air yang bersumber dari negeri Kedah.
“Air juga dicadang sebagai ‘catalyst’ untuk ‘economic growth’. Di mana negeri yang ada bekalan air yang banyak, lepas itu ekonomi dia berkembang lebih pesat. Tetapi sekarang ini nampaknya tidak seimbang. Negeri yang mempunyai bekalan air yang banyak, perkembangan ekonomi dia menjadi perlahan. Ini satu ketidakadilan, terkeluar daripada konsep ‘fair and justice’.
“Contoh yang dibawa (oleh Panel Pakar) ialah TNB pada waktu ini membayar kepada penggunaan aliran air, bukan menggunakan air. TNB menggunakan aliran air untuk menggerakkan ‘turbine’, dan TNB membayar kepada beberapa negeri yang TNB guna aliran untuk gerakkan ‘turbine’ saja. TNB tak guna ayaq, dia guna aliran, tapi TNB bayar.
“Apatah lagi kepada negeri yang menggunakan air secara fizikal dengan begitu banyak, tapi tak bayar. Ini belum menjadi persoalan yang patut dipertimbangkan, difahami dan dipertimbangkan. Saya tak tahu kalau nak buat-buat tak faham juga, susahlah kan?
“Meminta Kerajaan Persekutuan membayar untuk penggunaan kita adalah sesuatu yang ‘totally wrong’. Kita yang guna, kita yang patut bayar. Kita guna, tapi kita minta orang lain bayar ini satu konsep yang salah. ‘They should pay for maintainance fee’.
“Ada beberapa kaedah yang boleh digunapakai dalam menentukan kadar bayaran. Kalau kita tak mahu guna kaedah berapa MLD (juta liter sehari), dia (Pulau Pinang)guna 1,200 MLD (air Sungai Muda). Kita (Kedah) guna 780 (MLD). (Jadi Pulau Pinang guna) Lebih banyak. Kalaulah tak guna kaedah berapa juta liter padu dia guna, kita boleh guna kaedah ‘maintainance fee’ tadi sebanyak mana yang digunapakai.
“Akhir sekali, banyaklah pandangan yang dilontarkan (Panel Pakar), saya fikir yang penting ialah penglibatan Kerajaan Persekutuan dalam isu ini menjadi fasilitator kepada rundingan ataupun timbang tara kepada isu yang berbangkit antara Kedah dan Pulau Pinang.
“Saya tidak akan berhenti daripada bercakap tentang isu ini sehingga Pulau Pinang membuat bayaran kepada penggunaan air dari Sungai Muda.” – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan