HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 Mei 2021

Sultan Kelantan sumbang RM300,000, wakil rakyat Pas potong elaun sebulan

Oleh ZAAIN ZIN
AHMAD Yakob (dua dari kiri) menerima penyerahan kurniaan Sultan Kelantan yang disempurnakan Tengku Azmi Tengku Jaafar di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan RM300,000 kepada rakyat Palestin bagi menzahirkan solidariti baginda terhadap umat Islam yang ditindas rejim Zionis di sana.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika mengumumkan perkara itu di akaun Facebooknya hari ini berkata, kurniaan Sultan Kelantan diserahkan kepada beliau untuk disalurkan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

“Menjunjung kasih atas ampun perkenan Tuanku terhadap kurniaan tersebut. Kurniaan ini menunjukkan keprihatinan, kebersamaan serta solidariti Tuanku di atas situasi getir bumi al-Aqsa sekarang,” kata beliau.

Penyerahan disempurnakan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar dan disaksikan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud serta Setiausaha Sulit Kanan Sultan Kelantan, Datuk Nik Shafriman Nik Hassan.

Sementara itu, Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) mengumumkan setiap wakil rakyat Pas di negeri ini bersetuju membuat potongan elaun sebulan sebanyak RM7,000 seorang untuk disumbangkan kepada Tabung Palestin.

Pengerusinya, Datuk Hassan Mohmood berkata, sumbangan kepada rakyat Palestin oleh BBC Kelantan dibuat menerusi dua fasa.

“Fasa pertama ialah kutipan sebanyak RM10,000 yang disampaikan hari ini kepada Menteri Besar manakala fasa kedua ialah potongan terus elaun wakil rakyat Pas di Kelantan,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan sebanyak RM100,000 daripada Tabung Serambi Mekah disumbangkan kepada umat Islam di Palestin di samping Ahmad sendiri secara peribadi menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000.

Orang ramai yang ingin turut serta menderma boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) – 03018010080024. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: