AGENDA DAILY
Kontroversi isu surat sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan mahu dilupakan Datuk Seri Najib Razak.
Kontroversi isu surat sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan mahu dilupakan Datuk Seri Najib Razak sebaliknya bekas presiden UMNO tersebut membidas pemimpin parti itu pula, supaya tidak terlalu obses mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) segera.
Untuk rekod, bekas perdana menteri itu dan rakan rapatnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih belum menjawab berhubung kontroversi isu surat sokongan kepada Anwar yang dihantar ke Istana Negara pada Oktober tahun lepas sehingga menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya sudah lama mengajukan supaya pemimpin-pemimpin UMNO patut bercakap tentang soal-soal negara… soal-soal yang melibatkan kepentingan rakyat, dasar ekonomi negara dan sebagainya.
“Dan lagi lama lagi banyak kita cakap jelas bahawa UMNO ini prihatin, UMNO cakna dalam hal yang sangat penting ini, supaya kita disebut tadi, janganlah kita obses sangat dalam soal PRU,” kata beliau ketika wawancara dalam Program 75 Tahun Jubli Intan anjuran UMNO Online malam tadi.
Najib berkata UMNO perlu membawa agenda untuk rakyat agar mereka memahami matlamat parti tersebut dan kembali menjadi parti pilihan rakyat dalam PRU nanti.
“Tapi kita kena paparkan juga apa agenda kita untuk rakyat, untuk negara… mereka boleh nampak ke arah mana UMNO hendak bawa negara kita kalau kita ada kuasa… kita tunjukkan kitalah yang terbaik dan tampilkan yang terbaik,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Najib masih tidak menolak PRU sebagai jalan terbaik bagi membentuk kerajaan yang stabil namun berkata biarlah PRU diadakan dalam keadaan tenang bagi memastikan episod lompat parti tidak berulang.
“Saya nampak kalau jangka pendek ada masalah kalau kita lompat parti, jadi kita ulang balik, kita adakan pilihan raya bagi rakyat beri undi yang menyakinkan, di mana pilihan raya tentukan kerajaan yang stabil, kalau undi berpecah ia akan pusing ke situ juga,” tegasnya.
Berhubung sokongan rakyat terhadap UMNO selepas ditolak pada PRU14 yang lalu, Najib mendakwa UMNO masih ada di dalam hati rakyat.
“Melihat UMNO tetap relevan meskipun kita telah tewas pada PRU14 mungkin ada hikmah dalam erti kata rakyat dapat menilai zaman BN (Barisan Nasional), PH (Pakatan Harapan) dan PN (Perikatan Nasional) merata-rata kita tanya rakyat terkenangkan zaman BN… lihat politik stabil ada hala tuju yang jelas, rasa hari esok lebih baik dari hari ini.
“Ia memberi kelegaan kepada mereka iaitu negara aman dan selamat dan semakin maju dan diakui juga kebajikan tiada lebih baik daripada UMNO,” katanya.
Terdahulu Mac lalu, kedudukan kerajaan PN juga sekali lagi digugat
apabila Perhimpunan Agung UMNO 2020 membuat ketetapan hanya akan
menyokong kerajaan PN sehingga Ogos depan dan mendesak supaya PRU
diadakan selepas itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan