HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Mei 2021

Anwar hantar Zahid kecam saya, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengecam beliau.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘memberontak’ ketika beliau menjadi perdana menteri ke empat dahulu.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 5 Mac 1976 menggantikan Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum berundur pada 16 Julai 1981. Pada 10 Mei 2018 beliau sekali lagi mengangkat sumpah jawatan perdana menteri ke-7 sebelum meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Di bawah pentadbirannya ketika menjadi perdana menteri ke-4, beliau bukan sahaja melantik Anwar sebagai timbalannya mulai hujung 1993 hingga September 1998, malah pernah melantik Anwar memangku jawatan perdana menteri.

Menceritakan pandangan beliau terhadap Anwar dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia, Dr Mahathir berkata Anwar menghantar Zahid untuk mengecam beliau sebagai kronisme, diktator, rasuah dan lain-lain lagi.

Beliau juga berpendapat Presiden PKR itu ketika menjadi timbalan perdana menteri tidak sabar untuk menduduki kerusi perdana Menteri.

“Saya ingat dia tunggulah. Tapi sekali lagi nampak dia punya program lambat sangat saya nak berhenti. Dia ingat dalam tempoh 10 tahun dia dapat jadi PM. Tapi pasal saya lambat sangat, dia hantar orang dia supaya kecam saya.

“Dia sendiri tak kata, dia sendiri baik. Tapi orang dia macam Zahid Hamidi apa semua ini tuduh saya ini kronisme, diktator, rasuah macam-macam buat tuduhan.

“Sampai saya tunjuk bahawa yang dapat kontrak bukan saya, Anwar punya orang. Kemudian bila dah sampai lama sangat pun, itulah dia memberontak,” katanya mengimbas ketika

Zahid memang diketahui rapat dengan Anwar sejak kedua-duanya menjadi tenaga pengajar di Yayasan Anda pada 1980-an.

Hubungan mereka bertambah rapat apabila Anwar menjadi timbalan presiden UMNO dan timbalan perdana menteri, manakala Zahid pula adalah ketua pemuda UMNO.

Awal April lalu Agenda Daily melaporkan satu klip audio mirip suara Zahid dan Anwar sedang berbincang strategi politik semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) 27 dan28 Mac lalu, tular di media sosial.

Perbualan antara mereka itu sangat mesra dengan kedua-dua mereka saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan para perwakilan UMNO semasa PAU berlangsung.

Susulan itu, beberapa pemimpin kanan dan akar umbi UMNO meminta Zahid menjelaskan kedudukan sebenar hubungan parti itu dengan PKR yang bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH) bersama DAP dan AMANAH.

Bagaimanapun, Zahid tidak menjawab desakan akar umbi sebaliknya sering kali mengeluarkan kenyataan yang didakwanya sebagai kesalahan dan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zahid berdepan 47 pertuduhan mahkamah dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Mei 2021 dan mengemukakan jawapan balas pada 11 Jun ini.

Mahkamah turut menetapkan 28, 29, 30 Jun dan 1 hingga 2 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Zahid dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Seramai 99 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019.

Tiada ulasan: