AGENDA DAILY
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu mesti melakukan perubahan kepemimpinan, bersedia mengikut perkembangan zaman dan memiliki pemimpin yang ikhlas dalam perjuangan.
Katanya, usaha untuk melihat UMNO terus wujud berada pada pendukungnya, namun masa depan parti itu adalah rahsia Tuhan.
“Dalam segala kebaikan dan kelemahan UMNO, kitalah karyawannya. Jika UMNO terus ingin meraikan ulang tahunnya, tiga perkara penting mesti senantiasa UMNO lakukan.
“(Pertama) Ia mesti dilihat secocok dengan zaman. Jangan terus terbuai dengan nostalgia ketinggalan zaman. Hentilah cerita zaman gemilang sedangkan kedudukan semasa sangat bergelora dan tidak secerah dulu.
“Kedua, pendukungnya mesti pelbagai generasi (intergenerational). Perubahan generasi itu nyata dan mesti diterima. Idea dan pemikiran politik terbaik bukan lagi di ukur pada usia pengucapnya tetapi pada kualiti dan kebernasan idea tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, yang ketiga ialah nilai dan misi parti itu mesti diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas menghidupkan UMNO, bukan mereka yang mencari penghidupan daripada UMNO.
Sejak selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 27 dan 28 Mac lalu, UMNO dilihat semakin teruk berdepan krisis kepemimpinan tanpa ada tanda-tanda penyelesaian.
Parti itu kini dikatakan berpecah kepada empat kumpulan dengan majoriti akar umbi dan pemimpin kanan serta veteran mahu UMNO terus bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Bagaimanapun, di satu pihak lain yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan bekerjasama dengan Bersatu dan PN pada PRU15 nanti.
Krisis dalaman UMNO semakin parah selepas tular klip audio yang didakwa suara Zahid sedang berbual mesra, berbincang strategi politik dengan sahabat lama dan ‘cikgunya’, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika PAU berlangsung.
Selain itu beberapa isu termasuk surat sokongan Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan sokongan kepada Anwar menjadi perdana menteri selepas mendakwa kerajaan PN sudah hilang suara majoriti di Dewan Rakyat, yang dihantar ke Istana Negara, juga tidak dijawab.
Zahid berdepan 47 pertuduhan mahkamah dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Sementara Najib pula didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, tetapi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan