HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Kerajaan PN: Sistem lapuk wajar diperbaiki

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memperbaiki sistem lapuk warisan penjajah yang telah berakar umbi dalam kerajaan sejak Negara Malaysia diasaskan.

Usaha murni untuk membaik pulih sistem ini wajib melibatkan semua kementerian, suruhanjaya, pertubuhan, badan, syarikat dan agensi kerajaan. Pengecualian tidak harus diberikan kepada mana-mana pihak yang bernaung di bawah Kerajaan PN. Usaha-usaha terhadap institusi-institusi utama kerajaan ini wajar ditegaskan bagi memastikan ianya bebas daripada penyalahgunaan kuasa, pecah amanah serta sifar rasuah.

Berdasarkan kenyataan saya mewakili Dewan Ulamak PAS berkenaan Ketua Polis Negara yang tular tempoh hari, berikut merupakan beberapa pencerahan.

Saya melihat ramai dalam kalangan netizen salah faham terhadap kenyataan saya dan tidak memerhati secara keseluruhan, bahkan ramai yang terpengaruh dengan reaksi emosi sesetengah pihak. Saya mengambil pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) untuk mengajak semua pihak bergerak atas pembuktian dan hujah, bukan persepsi dan emosi. Fokus saya ialah tentang pendedahan kewujudan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam institusi dan pihak-pihak tertentu. Oleh itu, saya menganggap aduan itu tidak cukup dengan tuduhan tetapi perlu dibuktikan dan perlu diberi perhatian segera.

Pertama: Beliau perlu membuat aduan tersebut mengikut prosedur undang-undang dengan kadar yang segera. Hal ini bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan seadilnya kepada golongan yang beliau sebutkan itu.

Kedua: Kerajaan perlu segera memperbetulkan kebobrokan sistem yang wujud. Pengamalan salah undang-undang hari ini, mewajibkan orang yang didakwa untuk mendatangkan bukti bagi menangkis dan membuktikan bahawa dia tidak bersalah. Hal ini sudah terbalik dan sangat bertentangan dengan prinsip undang-undang sebenar seperti yang disebutkan di atas. Saya tidak mahu semua orang hanya menggunakan dakwaan dan tuduhan sahaja tanpa keterangan yang jelas dan nyata, sejajar dengan sabdaan Rasulullah S.A.W:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: Sekiranya diberikan kepada manusia itu semata dengan mengikut dakwaan-dakwaan mereka, nescayalah orang ramai akan mendakwa darah dan harta orang lain (sebagai milik mereka). Akan tetapi sumpah itu adalah ke atas mereka yang dituduh. (Riwayat Muslim (1711)

Pesan Rasulullah S.A.W.:

(( الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ ))

“Pendakwa hendaklah mendatangkan bukti, dan yang didakwa mesti melakukan sumpah (untuk mengikarinya).” (Sunan At-Tirmizi, 3/18/1341)

Dalam kes ini, pihak yang mendakwa dan menuduh wujudnya salah laku dalam kementerian, perlu mendatangkan bukti di mahkamah atas dakwaan yang disebutkan itu. Sekiranya penghakiman mahkamah berjaya membuktikan orang yang dituduh itu bersalah, maka jatuhkanlah hukuman ke atasnya dan tiada siapa mahu menghalangnya.

Kita tidak mahu ahli politik bahkan sesiapa sahaja yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan kuasa serta rasuah, dibebaskan begitu sahaja dan tidak diambil tindakan setimpalnya.

Penegasan harus diberi di sini, bahawasanya mana-mana pihak mesti berani untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang dalam membanteras salah laku. Sebarang kezaliman dan penindasan harus dibawa ke muka pengadilan.

Keadilan adalah milik semua. Kerajaan seharusnya mengambil tindakan segera terhadap segala aduan dan dakwaan yang dibawakan. Perkara mendesak ini sangat penting bagi memastikan kelestarian check and balance dalam kerajaan.

Hadis ini juga menjadi sandaran dalam kaedah fiqhiyyah dan pegangan dalam prinsip undang-undang (onus of proof lies with the plaintiff and denial shall be supported by oath).

Justeru, saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyarankan kepada Kerajaan PN supaya mengambil tindakan pro aktif:-

i) Menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk membuat siasatan dan kajian menyeluruh serta mengemukakan kertas cadangan mengikut perspektif Islam sebagai penyelesaian isu.

ii) Kerajaan melalui institusi-institusi bertanggungjawab sewajarnya bertindak segera melakukan penyiasatan terhadap apa-apa sahaja aduan dan dakwaan, yang mengundang perlanggaran sistem dan undang-undang yang mulia ini.

iii) Kerajaan mesti memberi penjelasan pantas terhadap kes-kes yang ditimbulkan seperti kes Almarhum Adib, kompaun RM50,000, isu rogol dan sebagainya. Hal ini bagi membuktikan kesungguhan Kerajaan PN dalam menjamin keluhuran keadilan serta kedaulatan undang-undang.

Tambahan lagi, pembaharuan institusi ini bukan sahaja memerlukan suatu undang-undang yang adil dan bersesuaian dengan realiti semasa, bahkan ia juga perlu dilihat adil daripada aspek penguatkuasaannya. Tindakan yang lebih pantas terhadap laporan yang dibuat agar penyiasatan dilakukan dan dibawa ke muka pengadilan untuk diadili bagi dihukum menerusi lunas perundangan yang ada dalam negara ini.

Kesemua ini memerlukan komitmen daripada kerajaan dan agensi penguatkuasa yang terlibat. Reformasi institusi ini perlu dijadikan agenda utama bagi membawa negara ke arah yang lebih sejahtera

Kesimpulannya, PAS konsisten dalam agenda membudayakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang bertongkatkan hujah dan bukan emosi serta persepsi. Kerajaan mahupun pembangkang yang melakukan penindasan, wajar dibawa ke muka pengadilan. Yang dibuktikan bersalah akan dihukum, yang dizalimi akan dibela.

“Ulama’ Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

(*) YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH,  Ketua Penerangan, Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP)
 – HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: