HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Mei 2021

Hamid dakwa Hamzah mahu guna Cawangan Khas untuk politik

 

TAN Sri Abdul Hamid Bador mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri untuk menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Ketika mendedahkan perkara itu kepada portal Malaysia Gazette, bekas Ketua Polis Negara itu berkata, langkah menteri tersebut bertujuan untuk karier politiknya.

“Bukan saya saja yang menghadapi masalah dengan Menteri Dalam Negeri, Jabatan Cawangan Khas (JCK) turut kurang senang dengan tindakan beliau sejak setahun lalu.

“Saya dimaklumkan Menteri Dalam Negeri telah memaksa JCK melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik dirinya.

“Saya tidak boleh dedahkan operasi apa kerana setiap operasi JCK adalah rahsia tapi cukuplah untuk mengatakan bahawa objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada JCK untuk memelihara serta menguruskan keselamatan negara,” katanya seperti dilapor portal itu.

Menteri Dalam Negeri ketika ini ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memegang jawatan itu sejak Mac tahun lalu.

Abdul Hamid berkata, Cawangan Khas menolak untuk turut serta dalam operasi tersebut sebelum melaporkannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, Perdana Menteri bersetuju JCK tidak boleh terlibat dalam kerja politik dan dakwa beliau ia menyebabkan menteri terbabit marah sebelum cenderung bekerjasama dengan bekas pegawai kanan JCK yang telah tamat kontrak tahun lalu.

“Menteri berkenaan dikatakan mengatur langkah untuk menjadikan ‘budaknya’ (bekas pegawai kanan JCK) menyandang jawatan PCK Bukit Aman kerana individu itu mudah mengikut arahan menteri.

‘’Sebagai bukti, pada 16 Februari lalu PCK sedia ada telah dipanggil oleh Ketua Setiausaha KDN sebelum meminta beliau mengakhiri kontraknya secara sukarela, jika tidak notis sebulan bagi pemberhentian kontrak akan diberikan.

“Menteri tersebut seolah-olah tidak sabar meletakkan ‘budaknya’ mengisi jawatan tersebut sedangkan kontrak PCK akan berakhir pertengahan Jun ini,” dakwa Abdul Hamid.

Tambah beliau, isu tersebut turut dibawa untuk pengetahuan Perdana Menteri sebelum PCK diarahkan untuk terus berkhidmat.

Terdahulu, Abdul Hamid Bador menegaskan beliau akan berjuang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cara sendiri walaupun beliau bukan lagi Ketua Polis Negara.

UtusanTV sedang menunggu maklumbalas daripada pejabat Menteri Dalam Negeri.

Tiada ulasan: