HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

Ku Li gagal pengaruhi MP UMNO untuk jatuhkan kerajaan PN

AGENDA DAILY

Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah gagal menarik sokongan ahli Parlimen UMNO untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekaligus misi kerjasama mereka yang dijalin sejak Disember lalu dianggap sudah ‘terkubur’.

Jelas Mahathir, beliau ‘termakan’dengan janji ahli Parlimen Gua Musang yang mesra disapa Ku Li itu yang bersungguh-sungguh menyakinkannya, bahawa akan ada ahli Parlimen UMNO akan menyertai gerakan itu bagi memastikan kerajaan PN jatuh.

“Tengku Razaleigh ini ada pengaruh dalam UMNO, kalau dia boleh tarik dua tiga orang keluar (tidak menyokong kerajaan PN) seperti dia (maka) jatuh kerajaan, tetapi dia tidak berjaya tarik.

“Jadi saya bersama dengan dia (ketika itu) kerana dia kata boleh tarik sebahagian orang UMNO tetapi tiada orang UMNO nak keluar.

“Tiada siapa pun nak tinggal jawatan lumayan ini. Kawan dia atau orang yang dekat dengan dia tiada seorang pun, jadi dia tinggal seorang sahaja,” katanya dipetik portal MalaysiaPost.

Meskipun sering kali dilabel seteru, pada Disember tahun lalu kedua-dua tokoh politik veteran negara itu mengumumkan telah menjalinkan kerjasama politik.

Ku Li juga, secara terbuka telah menyatakan kepada Mahathir bahawa beliau telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 23 November tahun lepas, Ku Li telah menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan tidak dapat ditentukan.

Ku Li menjelaskan, mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada perdana menteri dan jemaah menteri sah atau tidak dalam jawatan, akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan.

Ia dilihat sebagai usaha terakhir untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat sekali gus membuktikan kerajaan PN tiada majoriti.

Usaha itu gagal apabila Belanjawan 2021 diluluskan menerusi undi belah bahagi dengan majoriti tiga undi.

Kira-kira sebulan kemudian, dua lagi ahli Parlimen UMNO, Ahmad Jazlan Yaakub dan Nazri Aziz menyusuli Ku Li dengan menarik balik sokongannya terhadap PN.

Untuk rekod, pada November tahun lalu, Ku Li juga pernah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen agar menyokong usul undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin.

Tiada ulasan: