HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

Hanya Zahid dan ‘kawan’ setuju Anwar jadi PM, kata ahli MKT UMNO

AGENDA DAILY

Yang setuju Anwar jadi PM cuma Zahid dan 'kawan', kata ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

UMNO sudah membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus bermakna syarat yang diletak oleh blok pembangkang supaya menerima calon perdana menteri (PM) mereka adalah tidak munasabah sama sekali.

Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, rata-rata majoriti keputusan itu dipersetujui ahli dan pemimpin UMNO, namun tidak menolak terdapat pemimpin tertinggi parti itu yang tidak bersetuju dan sedia menjalin pakatan dengan blok pembangkang.

“Kita sudah membuat keputusan No DAP, No Anwar. Semua tak setuju untuk bekerjasama dengan mereka ini, yang setuju cuma Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dengan kawan dia sahaja.

“Secara keseluruhan kita tak mahu bekerjasama, dan kita harap orang Melayu tidak akan menerima perkara ini sampai bila-bila,” katanya kepada Agenda Daily.

Katanya, cubaan Zahid menggunakan kaedah Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menarik orang Melayu untuk menyokong DAP ketika zaman Pakatan Harapan (PH) dahulu, sama sekali tidak akan mendatangkan hasil, malah sebaliknya bakal memberi kesan buruk kepada UMNO yang sememangnya secara tradisi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.

“Dan taktik itu takkan menjadi sampai bila-bila,” tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu lagi.

Agenda Daily sebelum ini melaporkan, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menegaskan UMNO, Warisan atau mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan PH mesti menerima Anwar sebagai calon PM.

Katanya, PH mempunyai struktur kepemimpinan yang jelas di mana Anwar adalah pengerusinya dan layak untuk diangkat sebagai PM.

Namun, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata DAP tidak berhak memaksa UMNO untuk menerima Anwar menjadi PM.

UMNO dan BN setakat ini belum menyatakan siapa calon PM mereka walaupun parti itu ketika ini mempunyai presiden yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) iaitu Zahid.

Pemerhati politik melihat langkah UMNO untuk tidak mengumumkan calon PM mereka berpunca daripada pendedahan klip audio tular wujudnya pakatan sulit antara Anwar dan Zahid sebelum ini.

Keengganan UMNO menamakan calon PM juga turut mengakibatkan akar umbi parti semakin resah dengan hala tuju parti tersebut, mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk menghadapi PRU15 jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Secara tradisinya, presiden UMNO yang juga pengerusi BN akan menjadi calon perdana menteri Malaysia sekiranya gabungan itu memenangi PRU.

Tiada ulasan: