HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Mei 2021

Lompat parti: Tak perlu pinda perlembagaan, guna sistem pilihan raya semula, kata Shahrir

Veteran Umno, Shahrir Abd Samad, berkata sistem pilihan raya semula 
menghormati hak pengundi dan tidak mengagungkan hak wakil rakyat. 
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Amalan lompat parti dalam kalangan pemimpin politik boleh diatasi dengan menggunakan sistem pilihan raya semula tanpa perlu melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, kata veteran Umno, Shahrir Abd Samad.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu hanya melalui pindaan kepada undang-undang pilihan raya sahaja, bukan kepada Perlembagaan Persekutuan yang prosesnya tidak mudah.

“Yang lagi menarik, ia (sistem pilihan raya semula) memberi kuasa kepada pengundi untuk buat petisyen supaya diadakan suatu pilihan raya semula kerana perbuatan seseorang wakil rakyat, seperti melompat parti,” kata beliau di Facebook.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dilaporkan berkata, tiada peruntukan undang-undang melarang mana-mana pihak untuk pergi ke parti lain.

“Terdapat juga mereka yang keluar parti jadi bebas. Ini pun bukan kesalahan lagi di bawah undang-undang negara kita,” kata beliau.

Azam berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, yang menggesa SPRM menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik yang lompat parti bagi mendapatkan habuan.

Dalam pada itu, Shahrir berkata, dari sudut hak bawah perlembagaan, seseorang wakil rakyat yang melakukan amalan melompat parti tidak salah, dan keputusan mahkamah negara ini mempertahankan hak wakil rakyat terbabit.

“Kalau nak pinda perlembagaan supaya menyekat amalan lompat parti ini, ia perlu kepada bilangan dua pertiga Ahli-ahli Parlimen. Kerja yang tidak mudah,” kata beliau.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, sistem pilihan raya semula menjadikan amalan lompat parti satu kesalahan dari sudut umum iaitu pengundi, walaupun tidak salah dari sudut hak individu, iaitu seorang wakil rakyat atau individu elit.

“Sistem ‘Recall Elections’ atau pilihan raya semula ini menghormati hak ramai (pengundi) dan tidak mengagungkan hak individu elit (wakil rakyat),” kata beliau.

Tiada ulasan: