HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Mei 2021

PKP ‘cukup syarat’ di Selangor hanya pamer kegagalan kerajaan, kata Syed Saddiq, Chin Tong

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan mengambil jalan pintas 
dengan pelaksanaan PKP, manakala Liew Chin Tong pula berpendapat kaedah 
lain bagi mengekang penularan wabak perlu diambil segera.
 
PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh terus mengelirukan orang ramai dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sebaliknya perlu meletakkan sasaran penurunan kes yang mahu dicapai, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, tindakan mengumumkan PKP adalah jalan pintas kerajaan dan cubaan mahu menunjukkan kerajaan sedang bekerja.

“Tapi hasilnya semua kita tahu. Kes sudah cecah lebih 2,000 setiap hari walaupun kononnya darurat dibuat untuk melawan Covid-19.

“Malah, apabila kerajaan umum ada PKP, sepatutnya terus letak sasaran penurunan kes berapa yang mahu dicapai. Itu adalah KPI bagi kerajaan,” kata beliau di Facebook.

Mengulas pelaksanaan PKP di enam daerah di Selangor seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam, Syed Saddiq berkata, perasaan rakyat mengenainya sudah boleh dilihat jelas.

Kata beliau, rakyat bukan mahu menentang pelaksanaan PKP, tetapi rakyat sudah hilang rasa percaya dengan tindakan kerajaan yang seolah-olah sekadar cukup syarat sahaja.

“Jujurnya, saya pun sudah tidak boleh menerima pengumuman PKP semalam. Ia tidak dibuat dengan cara yang betul,” kata beliau.

Sementara itu, bekas timbalan menteri dari DAP, Liew Chin Tong berkata, tindakan kerajaan melaksanakan PKP di enam daerah di Selangor pada saat-saat akhir menjelang sambutan Aidilfitri jelas menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan krisis kesihatan dan ekonomi dengan efektif.

“Seperti yang telah saya tegaskan berkali-kali, PKP sepatutnya menjadi langkah terakhir kerajaan untuk mengekang penularan wabak, bukannya pilihan utama.

“Daripada taksub dengan PKP dan darurat, kerajaan Muhyiddin Yassin sepatutnya meningkatkan ujian saringan dan menjalankan penjejakan kontak rapat secara besar-besaran,” kata beliau.

Tambah beliau adalah tidak waras untuk kerajaan melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza dan dalam hal ini, Malaysia perlu melaksanakan kaedah lain dengan segera.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan enam daerah di Selangor diletakkan bawah PKP selama 12 hari mulai Khamis sehingga 17 Mei, berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

PKP ini membabitkan Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat, dan Sepang.

Tiada ulasan: