HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mei 2021

Mat Sabu persoal Menteri pergi ke negara Arab iktiraf Israel

  KHAIRULANUAR YAHAYA

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu mempersoalkan anggota Kabinet pergi ke negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Bekas Menteri Pertahanan itu mendakwa tindakan anggota Kabinet berkenaan melakukan kunjungan ke negara terbabit seolah-olah mahu mengiktiraf kewujudan negara Israel.

“Hari ini, kerajaan Malaysia berebut rebut untuk pergi ke negara negara yang mengiktiraf Israel ini. Persoalannya, adakah Malaysia juga menuju ke arah mengaku kewujudan Zionis Israel sebagaimana normalisasi yang telah dilakukan oleh negara negara tersebut terhadap Israel?” tanya Mohamad.

Mohamad berkata, negara-negara Arab yang bekerjasama dengan Israel telah menyenaraikan kumpulan yang bangkit mempertahankan Palestin daripada penjajahan Israel seperti Hamas, Jihad dan Hizbullah sebagai pengganas.

Beliau mendakwa negara Arab tersebut menjalinkan hubungan dengan Israel untuk membendung kemenangan dan kekuatan rakyat Palestin.

“Ini yang perlu ditegaskan oleh umat Islam dan pejuang pejuang kebebasan. Kebanyakan mereka ini memperolehi negara selepas jatuhnya kerajaan Othmaniah dan selama itulah menjadi alat kepada kuasa besar yang sentiasa menaungi Israel.

“Umat Islam dan pejuang kebebasan mesti bersuara menuntut negara negara yang tidak menyokong Israel untuk melakukan tindakan bagi membela rakyat Palestin yang dijajah sejak sekian lama,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana menteri yang membuat kunjungan ke negara terbabit.

Dalam kenyataan di media sosialnya, Mohamad hanya menamakan Dubai antara negara Arab yang mempunyai hubungan akrab dengan Israel.

Serentak itu, pemimpin utama Pakatan Harapan itu mengajak rakyat untuk menolak negara-negara di Timur Tengah yang mempunyai hubungan dengan Israel, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang mempunyai hubungan baik dengan negara Yahudi itu.

“Hubungan perdagangan Dubai dengan Israel telah berlaku begitu ketara. Hari ini, penerbangan, pameran perdagangan di antara negara negara ini telah disertai secara bebas oleh ahli ahli perniagaan rejim Israel.

“Mereka bermaharajalela di negara negara Arab, sedangkan rakyat Palestin terus menderita di tanah air sendiri.

“Ayuh pejuang kebebasan, keamanan pejuangan golongan tertindas bangkit bersama sama berusaha untuk menolak rejim Arab yang bekerjasama dengan Israel, AS dan sebahagian negara Eropah yang pertahankan kezaliman Israel,” ajak Mohamad.-SM

Tiada ulasan: