HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mei 2021

Orang kuat Anwar tak faham kenapa UMNO masih kekal dalam kerajaan PN

AGENDA DAILY

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa supaya Menteri UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mempersoalkan sikap tidak realistik UMNO yang masih kekal berada dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN), meskipun tidak senang dengan tindak tanduk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut Ahli Parlimen Kapar itu, UMNO seharusnya ‘cakap serupa bikin’ dengan bertindak keluar daripada kerajaan PN segera, bukan sekadar ‘berkokok’di luar.

“UMNO ada 14 orang (menteri dan timbalan menteri) pun tidak cerdik, tak tahu kenapa masih duduk dalam kerajaan.

“Jadi kenapa mereka ini masih sokong PN sekarang, sedangkan Hamzah sering buat masalah,” katanya kepada Agenda Daily.

Hamzah sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam isu audio berhubung peranannya melibatkan pertukaran pegawai tertinggi polis.

Beliau teruk dihentam gara-gara isu tersebut, termasuk ‘diserang’ oleh bekas Ketua Polis Tan Sri Hamid Bador.

Isu itu dilihat sedikit sebanyak telah menjejaskan imej kerajaan PN.

Dalam pada itu, Abdullah brharap pilihan raya segera diadakan bagi ‘memulihkan’sistem demokrasi di negara ini.

“Hanya dengan PRU sahaja dapat mengajar mereka yang melompat ini, saya yakin mereka tidak akan menang baik daripada UMNO sekalipun, kerana rakyat cerdik sekarang,” tegasnya.

UMNO sebelum ini mengesahkan parti itu kekal menyokong kerajaan PN sehingga Ogos depan, namun desas-desus semakin kuat mengatakan kemungkinan UMNO akan membuat jajaran baharu bersama PKR selepas tular klip audio pakatan sulit antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ketetapan untuk semua Menteri dan Timbalan Menteri kekal dalam kerajaan PN sehingga dibubar Parlimen dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Senarai 14 pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan PN, antaranya Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan – Menteri Pertahanan; dan Setiausaha Agung yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan).

Tiada ulasan: