HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2021

Pembinaan LCS untuk ‘selamatkan’ TLDM atau kontraktor? soal pemimpin PH

Boustead Naval Shipyard diberikan kontrak untuk membekalkan enam kapal 
tempur pesisir pantai kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan meneruskan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) dipersoal bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong.

Menerusi kenyataan bersama, mereka mendakwa keputusan itu lebih bertujuan menyelamatkan serta menjamin kepentingan kontraktor serta subkontraktor Boustead Naval Shipyard (BNS), dan bukannya bagi memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat bilangan kapal tempur yang menepati keperluan semasa.

“Istilah ‘TLDM’ dan ‘keperluan peralatan’ tidak sekali pun disebut di mana-mana dalam kenyataan (berhubung isu) ini. Kami cukup bimbang sekiranya niat kerajaan hanya terhad kepada kepentingan kontraktor, dan bukan pengguna kapal itu,” katanya.

Mereka mengulas keputusan Kementerian Pertahanan mengumumkan persetujuan untuk Kumpulan Boustead meneruskan LCS yang terhenti sejak 2019 tertakluk kepada syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata ia diputuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Rabu lalu.

Ismail berkata, penerusan pembinaan itu akan menyelamatkan 1,600 pekerja yang terdiri daripada anak tempatan dan lebih 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS Bumiputera.

“Sekiranya pembinaan LCS ini tidak diteruskan ia akan memberi impak negatif kepada pekerja dan vendor Bumiputera yang terlibat.

“Ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang merupakan pemegang saham dalam Boustead Holdings Berhad,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Susulan itu, Mohamad dan Liew berkata tujuan utama projek tersebut selain membangunkan industri pertahanan tempatan adalah untuk melengkapkan TLDM dengan peralatan moden.

“Pemikiran Kabinet yang gagal meletakkan keperluan TLDM sebagai pertimbangan utama dalam hal ini mengecewakan,” kata kenyataan itu.

Mereka berkata, kerajaan juga tidak menyentuh tentang rancangan lanjut dan jadual untuk memastikan kapal-kapal itu akan disiapkan.

“Malah, tiada sebarang ulasan juga tentang masalah hakiki yang menyebabkan kelewatan itu berlaku,” kata mereka.

Mereka juga mempersoalkan status dana berjumlah RM1 bilion yang telah hilang daripada akaun projek tersebut.

“Apakah status forensik audit? Pada bulan Disember yang lalu, Menteri Pertahanan telah menjelaskan dua-dua perkara ini sedang diusahakan.

“Apakah status semasa siasatan? Adakah duit yang hilang itu akan dikembalikan? Sekiranya tidak, apakah langkah lanjutan kerajaan untuk memenuhi jurang kewangan yang wujud hasil daripada kehilangan dana ini?

“Sebenarnya, pada 11 Feb 2020, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kehilangan dana RM 1 bilion yang diperuntukkan untuk project LCS,” kata kenyataan itu.

Mereka turut mempersoal berapa kapal LCS yang akan disiapkan sekiranya kerajaan tidak menyalurkan dana tambahan.

Selain itu, mereka mempertikaikan sama ada wajar untuk kerajaan menerima kurang daripada empat kapal sedangkan lebih daripada dua pertiga jumlah siling telah dibayar.

“Kami menyeru kerajaan mengambil pendekatan lebih holistik terhadap isu ini.

“Memang terang lagi bersuluh bahawa penamatan kontrak ini akan menjejaskan kontraktor pertahanan tempatan. Tetapi persoalan juga timbul tentang keupayaan TLDM dalam masa terdekat.

“Segala kegagalan dan kepincangan yang dihadapi dalam pengendalian projek ini perlu juga disemak, disiasat, seterusnya dibukukan dan dijadikan iktibar.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berulang lagi,” kata mereka.

Tiada ulasan: